MALAYSIA
Ancaman fasiliti LNG Bintulu, kerajaan Sarawak dapatkan maklumat lanjut MKN

Douglas Uggah Embas berkata setakat ini pihaknya hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media. -Gambar fail/Bernama
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan ancaman keselamatan terhadap fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu.
Ringkasan AI
- Kerajaan Sarawak akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada MKN berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti LNG di Bintulu yang diterima melalui SMS dari nombor Indonesia.
- Kawalan keselamatan di fasiliti LNG milik Petronas di Sarawak dan Sabah telah diperketatkan serta-merta oleh pihak polis susulan ancaman tersebut.
- Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menyatakan belum mengetahui jenis ancaman dan berharap langkah perlindungan aset negara diambil segera.
Beliau berkata kerajaan negeri berharap langkah sewajarnya diambil bagi melindungi aset negara sekiranya wujud sebarang bentuk ancaman sama ada dari segi keselamatan dan sebagainya.
"Kami berharap agar langkah diambil untuk pastikan kalau ada ancaman aset kita dilindungi.
"Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa, jadi saya pun tak pasti mereka (MKN) maksudkan apa sebenarnya. Saya kena tanya mereka juga," katanya lagi.
Awal hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan ancaman terhadap fasiliti LNG di Bintulu diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon yang berdaftar di negara jiran, Indonesia.
Bercakap di Kuala Lumpur, beliau berkata susulan ancaman yang diterima oleh seorang petugas Petronas di Bintulu itu, kerajaan telah meningkatkan kawalan keselamatan di fasiliti LNG di Sarawak dan Sabah.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pula berkata kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG milik Petronas diperketatkan serta-merta susulan ancaman tersebut.
"Pihak polis termasuk pasukan di kontinjen seluruh negara turut membantu meningkatkan keselamatan di semua fasiliti LNG Petronas bagi memastikan keselamatan fasiliti berkenaan berada dalam kawalan," katanya.
Semalam, media melaporkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu mengetatkan kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman yang diterima bagi membolehkan siasatan segera dilakukan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami