MALAYSIA
Ancaman LNG Bintulu: PDRM pastikan tahap keselamatan terjamin - Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Tahap keselamatan di fasiliti gas asli cecair (LNG) milik PETRONAS di Bintulu, Sarawak berada dalam keadaan terkawal susulan laporan ancaman yang diterima baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Tahap keselamatan fasiliti LNG Petronas di Bintulu terkawal, walaupun menerima ugutan melalui SMS daripada nombor berdaftar di negara jiran.
- PDRM dan MKN perketat kawalan keselamatan dan sedang menilai ancaman, manakala operasi LNG tidak terjejas dan bekalan kekal normal.
- Kerajaan pantau rapat isu ini, dengan cadangan tindakan susulan sedang dibincangkan bersama pihak berkuasa keselamatan.
Ujar beliau Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga kini sedang menilai keseluruhan aspek berkaitan ancaman tersebut.
"Mengenai tahap keselamatan di fasiliti LNG PETRONAS di Bintulu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada memberi sedikit maklumat terkini (dalam Mesyuarat Kabinet), di mana seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Polis Negara ia melibatkan beberapa pesanan ringkas, yang telah dihantar kepada pegawai PETRONAS.
"Semakan dengan nombor telefon tersebut menunjukkan bahawa ia telah berdaftar di negara jiran, dan bukan nombor telefon dalam negara kita. Perkara ini dalam pemantauan," katanya dalam Sidang Media Mingguan di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG milik PETRONAS diperketatkan serta-merta susulan ugutan diterima seorang pegawainya di Bintulu.
Beliau berkata pegawai terbabit menerima ugutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali sebelum membuat laporan polis.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan ancaman tersebut diterima daripada nombor telefon yang berdaftar di negara jiran, Indonesia.
PETRONAS dalam satu kenyataan pada Isnin juga memaklumkan, operasi LNG syarikat itu tidak terjejas dan tiada gangguan bekalan di kemudahan LNG miliknya di Bintulu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami