BUTTERWORTH: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM500 pada 2017.

Hakim Zulhazmi Abdullah mengenakan hukuman denda itu terhadap Mohd Fadzil Abdullah, 48, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Fadzil didakwa menerima wang berjumlah RM500 menerusi pindahan wang ke dalam akaun bank daripada seorang pemilik syarikat perikanan yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Dia dituduh melakukan kesalahan di Maybank Wisma Jelutong pada 17 April 2017 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman.

Terdahulu, peguam S.P Raman ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling minimum kepada anak guamnya berkata Fadzil menanggung ibunya, seorang isteri dan enam orang anak yang masih bersekolah.

Namun, Afiqa Liyana memohon mahkamah mempertimbangkan tiga elemen sebelum menjatuhkan hukuman iaitu kepentingan awam, keseriusan kesalahan dan hukuman pencegahan kesalahan.

Selain itu, Zulhazmi turut memerintah tertuduh dilepas tanpa dibebaskan terhadap empat lagi pertuduhan menerima wang berjumlah RM7,400 yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Julai lepas, Fadzil mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama, terhadap lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,900 antara 2017 hingga 2018.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Wisma Jelutong, Public Bank Relau dan Public Bank Lebuh Macallum, antara 17 April 2017 hingga 2 Ogos 2018.

-- BERNAMA