PORT DICKSON:Seorang anggota unit polis peronda (mpv) cedera di bahagian kepala selepas diserang seorang lelaki warga emas menggunakan sabit berhampiran sebuah tapak trak makanan di PD Waterfront, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.09 malam itu, suspek yang berusia 61 tahun turut cedera pada bahagian perut selepas terkena tembakan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan terdapat seorang lelaki membuat kacau di kawasan tersebut dan sepasukan anggota dari Balai Polis Port Dickson dibantu pasukan MPV terus bergerak ke tempat kejadian.

"Suspek yang terdahulu dikatakan telah melarikan diri ke dalam kawasan semak bagaimanapun tiba-tiba meluru keluar ke arah pasukan polis yang baru tiba dan cuba melakukan serangan.

"Anggota MPV kemudian telah mengarahkan suspek untuk berhenti namun tidak diendahkan dan dia masih berlari ke arah pasukan polis dengan memegang sabit.

"Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan, namun suspek masih tidak berhenti menyebabkan pasukan MPV melepaskan tembakan kedua.

"Suspek bagaimanapun sempat menghayun sabit ke arah anggota MPV berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala sebelah kiri," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian ditahan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.