NATIONAL
Angkara bunyi hon, tiga ekor gajah ‘naik minyak’ di JRTB Gerik-Jeli

Sebuah kereta menjadi mangsa 'kemarahan' tiga ekor gajah dalam satu kejadian berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, dekat Sungai Lebey, Gerik, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Tiga ekor gajah ‘mengamuk’ sehingga merosakkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam satu kejadian berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, dekat Sungai Lebey, Gerik, pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 11.36 malam daripada seorang lelaki berusia 39 tahun, yang mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 8.15 malam di Kilometer 11 JRTB.
“Berdasarkan siasatan, mangsa memberhentikan kenderaan setelah melihat sekumpulan gajah sedang melintas jalan.
"Namun, berlaku bunyi hon daripada sebuah kenderaan di belakang, dipercayai mencetuskan reaksi agresif daripada haiwan berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Rabu.Beliau berkata, ketiga-tiga ekor gajah berkenaan menghampiri kereta mangsa secara tiba-tiba, menyebabkan pemandu dalam keadaan panik bertindak keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar dari kenderaan sebelum serangan berlaku,” katanya.
Menurut Zulkifli, kereta mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, belakang serta sisi kanan dan kiri akibat insiden itu.
Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berwaspada ketika memandu di kawasan berisiko dan mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi apabila berhadapan dengan haiwan liar seperti gajah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami