BUTTERWORTH: Padah menganjurkan majlis perkahwinan semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, penganjur dan jurugambar di Butterworth dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka masing-masing dikompaun RM2,000 atas kesalahan berkenaan.

Noorzainy berkata pemeriksaan di rumah berkenaan semalam mendapati tuan rumah menganjurkan aktiviti sosial dengan meraikan perkahwinan anak lelakinya meskipun majlis perkahwinan tidak dibenarkan ketika ini.

Semasa polis membuat pemeriksaan, terdapat 19 ahli keluarga termasuk pasangan pengantin dan seorang jurugambar berada dalam kediaman itu.

Dipercayai, majlis itu diadakan bagi meraikan anak lelaki penganjur, namun ia tidak sesuai diadakan dalam keadaan ketika negara berdepan penularan wabak COVID-19.

Noorzainy berkata, pihaknya terkilan dengan sikap sesetengah individu yang masih gagal mematuhi SOP dengan menganjurkan majlis yang tidak dibenarkan tanpa menghiraukan situasi semasa.

"Sikap sebegini hanya mementingkan diri tanpa menghiraukan situasi semasa, malah kedegilan mereka yang ingkar SOP menyebabkan usaha bagi menghentikan virus COVID-19 gagal.

"Polis tidak akan berkompromi dan sentiasa akan membuat pemantauan selain mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi SOP ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu .

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata sebanyak 41 kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan pelanggaran SOP di mana kesalahan merentas negeri dan daerah merupakan antara yang paling tinggi.