IPOH:Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini membuat laporan polis terhadap pengguna Facebook yang belum diketahui identitinya, susulan penularan berita palsu berhubung isu pelantikan lima lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Exco).

Mohd Annuar berkata kenyataan itu disifatkan berniat jahat kerana menjatuhkan kredibilitinya sebagai Ahli Dewan Negara Perak, sekali gus boleh menjejaskan nama baik pihak Istana Perak.

Ujarnya, kenyataan yang tular di laman sosial mendakwa dia berkata pelantikan lima lagi Exco Perak pada Selasa tidak melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas adalah tidak benar sama sekali.

BACA: Annuar Zaini nafi keluar kenyataan tiada ADUN Pas sebagai Exco Perak

BACA: Dua ADUN Pas antara lima angkat sumpah Exco Perak

“Untuk makluman kenyataan itu tidak benar sama sekali dan palsu, saya tidak pasti siapa yang cuba menularkan kenyataan sedemikian di laman Facebook dan saya datang ke Balai Polis Kampung Rapat Ipoh untuk membuat laporan.

“Pada saya, itu tidak baiklah sedangkan realitinya pada petang ini dua orang ADUN dari Pas telah diperkenan oleh Sultan untuk dilantik mengangkat sumpah sebagai Exco.

“Setiap pihak harus bertanggungjawab. Sudah cukuplah kita menimbulkan polemik, fitnah… jadi etika menyiarkan berita ini biarlah berdasarkan yang berfakta dan yang benar,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat, di sini pada Selasa.

Mohd Annuar berkata, beliau juga kesal dengan sikap segelintir pihak yang cuba melaga-lagakan orang ramai dengan kenyataan palsu itu dan mendatangkan kegusaran kepada rakyat Perak.

Terdahulu, lima lagi Exco termasuk dua daripada Pas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh.

Dua ADUN Pas itu, Razman Zakaria (Gunung Semanggol) dan Mohd Akmal Kamarudin (Selama) mengangkat sumpah bersama-sama Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) dan Datuk Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering) dari UMNO.