Malaysia Baharu tidak boleh mempunyai hakim yang tidak mempunyai kejujuran intelektual, moral yang korup dan tidak cekap dalam menegakkan undang-undang.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer meluahkan pandangannya itu menerusi afidavit setebal 63 muka surat yang dikeluarkannya.

Akui dirinya pernah menjadi tukang masak nasi beriyani kepada lebih 10,000 orang tetamu, tidak bermakna apabila beliau diberi tanggungjawab kehakiman, beliau boleh diganggu dalam penghakimannya.

“Saya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di England pada usia 28 tahun. Sebelum itu, saya bekerja di restoran dan menjadi tukang masak. Saya berpengalaman sebagai ketua tukang masak dengan menyediakan beriyani untuk 10,000 orang.

“Anda boleh mempunyai tukang masak dalam sistem kehakiman, tapi Malaysia Baharu tidak boleh diselubungi hakim yang tidak mempunyai kejujuran intelektual, moral yang korup dan tidak cekap dalam menegakkan undang-undang.

“Pejabat hakim tidak boleh diganggu. Ini yang terkandung dalam Al-Quran, saya pasti Bible, Vedas dan kitab agama lain menyatakan yang sama,” memetik kenyataan pada muka surat tujuh afidavit tersebut.

Beliau turut mencabar kepimpinan dan bekas presiden Majlis Peguam untuk mengemukakan usul bahawa beliau merupakan hakim yang ‘bermasalah’ susulan pendedahannya itu.

“Saya sekarang mencabar kawan baik saya, Presiden Majlis Peguam, George Varughese dan bekas presiden, Steven Thiru untuk mencadangkan satu resolusi pada Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam untuk mengatakan saya tidak mempunyai kejujuran intelektual, moral yang korup dan tidak cekap dalam menegakkan undang-undang.

“Jika usul tersebut berjaya, saya akan berhenti menulis siri buku undang-undang Janab dan secepat mungkin memulakan rangkaian restoran ‘Janab’s Briyani House’.

“Saya harap, dengan bantuan Datuk Ariff, saya mampu meyakinkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merasmikannya di bangunan Parlimen.

Justeru, beliau meminta Majlis Peguam untuk melakukan tanggungjawab selaras Seksyen 42 di bawah Akta Profesion Undang-Undang tanpa rasa takut atau pilih kasih dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

Dalam temubual menerusi program Agenda AWANI, peguam Hamid Sultan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla meminta supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat perkara itu.

Menurut Mohamed Haniff, ia perlu merangkumi sekurang-kurang tiga individu iaitu bekas hakim, bekas peguam negara dan bekas peguam bebas yang tidak beramal.

Kesemua mereka perlu menamatkan perkhidmatan sekitar tahun 2000 atau sebelumnya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pada Selasa berkata, Hakim Hamid boleh membuat laporan polis sekiranya beliau berasakan kehidupannya telah diancam oleh mana-mana pihak berhubung dakwaan yang beliau kemukakan terhadap hakim-hakim yang tidak dinamakan dan institusi yang berkenaan dalam afidavit berkenaan.

Hakim Hamid dalam afidavitnya itu sebagai sokongan kepada permohonan oleh Sangeet Kaur Deo, mendedahkan, antara lain, butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia, termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.