Skip to main content

Malaysia

Anuar Bakri dilantik Ketua Polis Daerah Sentul

KUALA LUMPUR, 14 Sept - Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa daripada Superintendan Jasni Zolpa (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu ACP Anuar Bakri Abdul Salam pada Majlis Serah Terima Tugas dan pemakaian pangkat Anuar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa daripada Superintendan Jasni Zolpa (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu ACP Anuar Bakri Abdul Salam hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: ACP Anuar Bakri Abdul Salam hari ini dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu menggantikan Superintendan Jasni Zolpa yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan.

Majlis Serah Terima Tugas dan pemakaian pangkat Anuar, 58, dilaksanakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, dengan disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

Fadil ketika berucap dalam majlis itu berkata pelantikan ke jawatan itu bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap prestasi serta pengalaman yang telah dicurahkan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan rasa tanggungjawab.

"Saya menyeru kepada seluruh warga IPD Sentul untuk terus memberikan sokongan penuh, kerjasama dan komitmen kepada Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu," katanya.

Dalam majlis yang sama, isteri Anuar, iaitu Zaidah Ikhwan turut dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Sentul yang baharu selepas menerima tugas itu daripada isteri Jasni, Wan Safura Wan Mansor.

Sementara itu, Fadil berkata daerah Sentul adalah antara penyumbang kepada jenayah indeks di ibu negara berikutan kepadatan penduduk serta kawasan kediaman yang tinggi berbanding daerah lain.

Beliau berkata jumlah populasi tinggi secara langsung mendorong kepada berlakunya jenayah kekerasan dan harta benda, yang cuba ditangani pihaknya sebaik mungkin.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan berdasarkan maklumat risikan dan laporan terhadap kejadian curi kereta dan motosikal di daerah itu.

“Polis Kuala Lumpur akan menggerakkan langkah proaktif dan melipatgandakan penguatkuasaan bagi membanteras semua jenayah indeks, isu jenayah siber, penyalahgunaan dadah dan kesesakan lalu lintas kritikal di seluruh ibu negara demi memastikan ketenteraman masyarakat kekal terjamin,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement