KUALA LUMPUR: Bagi menghargai peranan dan sumbangan belia dalam pelbagai bidang di negara ini, kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan tujuh anugerah baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) bagi tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Belia Negara 2022 hari ini.

“Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan kategori anugerah baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara pada tahun ini sebagai inisiatif menyuntik semangat golongan belia untuk terus menyumbangkan bakti kepada pembangunan negara.

“Sebanyak tujuh anugerah baharu pencarian ikon belia yang cemerlang dalam kategori dipertandingkan bagi tahun 2022 iaitu Ikon Belia Karismatik, Ikon Belia Kelestarian Alam, Ikon Belia Reka Tekno, Ikon Belia Influencer (Media Sosial), Ikon Belia Sanjungan Budi, Ikon Youth-Biz dan Ikon Belia OKU,” katanya yang disiarkan secara langsung hari ini.

Malah jelasnya lagi bermula pada tahun ini, Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap sambutan Hari Belia Negara, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara.