KUALA LUMPUR: Malaysian AIDS Foundation (MAF) dan Malaysian AIDS Council (MAC) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, sambil menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada negara.
Dalam satu kenyataan, MAF dan MAC berkata Allahyarham akan sentiasa dikenang atas jasa, dedikasi serta sumbangan besar beliau dalam bidang kesihatan awam, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan itu, komitmen Allahyarham terhadap nilai kemanusiaan, belas ihsan dan khidmat kepada masyarakat telah menjadi sumber inspirasi kepada pelbagai lapisan masyarakat merentasi generasi.
“Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah akan sentiasa dikenang atas jasa dan dedikasi beliau dalam bidang kesihatan, pembangunan masyarakat serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Komitmen beliau terhadap nilai kemanusiaan, belas ihsan dan khidmat kepada masyarakat telah memberi inspirasi kepada ramai pihak merentasi generasi,” menurut kenyataan itu.
MAF turut mengimbau hubungan erat Allahyarham dengan organisasi berkenaan sejak lebih tiga dekad lalu.
Sejak tahun 1996, yayasan itu mengabadikan nama Allahyarham menerusi Anugerah Tun Dr Siti Hasmah, yang diwujudkan bagi mengiktiraf individu dan organisasi yang memberikan sumbangan cemerlang dalam memperkukuh respons HIV/AIDS di Malaysia.
Menurut MAF dan MAC, nama serta legasi Allahyarham terus menjadi simbol kepimpinan yang berteraskan kemanusiaan, keprihatinan dan khidmat bakti kepada masyarakat.
“Legasi Allahyarham mengingatkan bahawa usaha membina masyarakat yang sihat, inklusif dan penyayang memerlukan komitmen berterusan untuk memastikan tiada sesiapa yang terpinggir atau ditinggalkan,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua organisasi turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita.
MAF dan MAC menegaskan bahawa jasa serta sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi masa hadapan dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat.