Skip to main content

Teknologi

Festival Idea Putrajaya: R.A. BARN, UniSZA bangunkan kandang kambing modular, tingkat kecekapan penternakan

Roslan berkata, inovasi itu tercetus daripada permasalahan yang dihadapi penternak kambing, khususnya berkaitan pengurusan sisa ternakan, kerosakan struktur kandang kayu serta peningkatan kos penyelenggaraan. - Foto Astro AWANI
Roslan berkata, inovasi itu tercetus daripada permasalahan yang dihadapi penternak kambing, khususnya berkaitan pengurusan sisa ternakan, kerosakan struktur kandang kayu serta peningkatan kos penyelenggaraan. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUANTAN: Pengurusan kandang yang lebih bersih, tahan lama dan sistematik menjadi fokus pembangunan R.A. BARN, inovasi kandang kambing modular berasaskan aluminium yang dibangunkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pensyarah Kanan Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi UniSZA, Ts Dr Roslan Awang berkata, inovasi itu tercetus daripada permasalahan yang dihadapi penternak kambing, khususnya berkaitan pengurusan sisa ternakan, kerosakan struktur kandang kayu serta peningkatan kos penyelenggaraan.
 

Image
[INSERT]_1 INOVASI UNISZA_ASTRO AWANI


"Kandang konvensional yang menggunakan kayu mempunyai jangka hayat terhad berikutan pendedahan kepada kelembapan dan persekitaran penternakan, sekali gus memerlukan kerja pembaikan serta penggantian secara berkala.

"Daripada permasalahan ini, saya mula memikirkan bagaimana sebuah kandang dapat dibangunkan supaya lebih tahan lama, mudah diselenggara dan membantu mengurangkan beban kerja penternak," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Beliau berkata, R.A. BARN bukan sekadar inovasi yang menggantikan penggunaan kayu kepada aluminium, sebaliknya dibangunkan menerusi pemerhatian lapangan, kajian terdahulu, ujian makmal dan analisis kejuruteraan bagi memastikan kesesuaian bahan serta kekuatan strukturnya.

Jelasnya, penggunaan aluminium dipilih kerana mempunyai ketahanan kakisan yang baik, lebih ringan dan mudah diselenggara, sekali gus berpotensi memberikan penjimatan kos dalam jangka panjang.

Image
[INSERT]_2 INOVASI UNISZA_ASTRO AWANI



"Keistimewaan R.A. BARN turut terletak pada reka bentuk modular yang membolehkan kandang dipasang, dipindahkan dan diubah suai mengikut keperluan penternak.

"Malah, inovasi itu dilengkapi sistem pembersihan automatik menggunakan pam air dan pemasa yang ditetapkan bagi menjalankan proses pembilasan secara berkala, sekali gus membantu mengalirkan sisa ternakan ke kawasan pengumpulan," ujarnya.

Menurut Roslan, R.A. BARN turut mengintegrasikan teknologi Internet of Things (IoT) bagi membolehkan fungsi tertentu kandang dipantau dan dikawal menerusi papan pemuka yang boleh diakses menggunakan telefon pintar atau tablet.

"Gabungan ketiga-tiga elemen ini menjadikan R.A. BARN lebih daripada sekadar tempat menempatkan kambing," katanya.

Advertisement
Image
[INSERT]_3 INOVASI UNISZA_ASTRO AWANI



Setakat ini, sebanyak 23 unit R.A. BARN telah dilaksanakan secara kumulatif di beberapa negeri termasuk Terengganu, Johor, Selangor dan Pahang, membuktikan potensi hasil penyelidikan universiti untuk dimanfaatkan dalam operasi penternakan sebenar.

Inovasi itu turut menerima pengiktirafan Grand Prize dalam pertandingan inovasi pada 2025, selain memperoleh pensijilan MySTI pada Disember tahun sama yang membantu meningkatkan keyakinan terhadap potensi pengkomersialannya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Roslan berkata, pihaknya sedang membangunkan pendekatan keusahawanan sosial yang menggabungkan penyediaan kandang, ternakan permulaan, pemantauan dan bimbingan kepada masyarakat yang berminat menceburi bidang penternakan kambing.

Image
[INSERT]_4 INOVASI UNISZA_ASTRO AWANI



"Melalui pendekatan ini, peserta bukan sahaja menerima kemudahan penternakan, tetapi turut dibimbing untuk membangunkan aktiviti penternakan yang lebih terancang dan berdaya maju," katanya.

Beliau berharap R.A. BARN dapat diperluaskan sebagai salah satu penyelesaian moden dalam industri penternakan kambing tempatan, selain menjadi contoh bagaimana hasil penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada produk yang memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat.

Must Watch Video

Advertisement