Ringkasan AI
- Enam papan tanda Kuala Makar dilancarkan di Bukit Merah, Kerian, Perak sebagai penghargaan lokasi penggambaran siri Good Boys Go To Heaven.
- Inisiatif Astro Shaw ini bertujuan menarik pelancong dan peminat drama tempatan, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi serta komuniti setempat.
- Papan tanda tersebut mencerminkan kerjasama antara produksi dan masyarakat, serta memperkukuh identiti visual Kuala Makar di dunia nyata.
KUALA LUMPUR: Kuala Makar, pekan fiksyen yang mencuri perhatian penonton menerusi siri thriller psikologi Good Boys Go To Heaven kini mempunyai jejak tersendiri di dunia nyata apabila enam papan tanda khas lokasi itu dilancarkan di Bukit Merah, Kerian, Perak.
Inisiatif Astro Shaw itu bukan sekadar mengabadikan lokasi penggambaran siri berkenaan, sebaliknya membuka peluang untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai destinasi kunjungan baharu, khususnya dalam kalangan peminat drama tempatan.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, enam papan tanda berkenaan ditempatkan di beberapa lokasi sekitar Bukit Merah yang pernah menjadi latar penting dalam pembikinan siri premium Astro Originals itu.
“Papan tanda ini bukan sekadar simbol kepada lokasi penggambaran, tetapi turut mencerminkan kerjasama erat antara pasukan produksi dan masyarakat setempat yang telah menerima kehadiran kami dengan begitu baik.
“Inilah yang memberi kami lebih semangat untuk terus menghasilkan karya tempatan berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan penonton, tetapi turut mencipta impak di luar skrin, termasuk membuka peluang kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat. Kami berharap lebih ramai peminat dan pengunjung akan datang sendiri untuk meneroka Bukit Merah, Kerian serta mengenali keunikan lokasi ini," katanya.
Menurut Raja Jastina, pemasangan papan tanda itu merupakan penghargaan kepada penduduk setempat yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penggambaran siri berkenaan.
Beliau berkata, sambutan positif penduduk sepanjang proses produksi membuktikan hubungan antara industri kreatif dan komuniti setempat mampu menghasilkan manfaat yang lebih luas daripada sekadar penerbitan sesebuah karya.
"Kini, dengan enam papan tanda Kuala Makar yang ditempatkan di lokasi penggambaran, dunia fiksyen yang pernah mencetuskan pelbagai persoalan dan teori dalam kalangan penonton terus dihidupkan sebagai sebahagian daripada pengalaman dunia sebenar.
"Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Astro Shaw untuk terus memperluas impak karya tempatan, bukan sahaja menerusi penceritaan berkualiti, malah melalui kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyumbang kepada perkembangan industri kreatif dan memperkenalkan keunikan destinasi tempatan kepada khalayak lebih luas.
“Inilah yang memberi kami lebih semangat untuk terus menghasilkan karya tempatan berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan penonton, tetapi turut mencipta impak di luar skrin, termasuk membuka peluang kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat," katanya.
Menurutnya lagi, Astro Shaw berharap kewujudan papan tanda itu dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke Bukit Merah dan meneroka kawasan sekitar Kerian yang mempunyai keunikan tersendiri.
Fenomena Good Boys Go To Heaven sebelum ini turut mencuri perhatian apabila penonton bukan sahaja mengikuti perkembangan jalan ceritanya, malah aktif membina teori dan membuat spekulasi bagi merungkai misteri pembunuhan watak kanak-kanak bernama Ahyan.
Sejak mula ditayangkan pada 8 Mei 2026, siri itu mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, khususnya Threads, apabila penonton bertindak seperti penyiasat dengan meneliti setiap petunjuk dan latar belakang watak.
Mengangkat kisah Yasser, seorang bapa yang kehilangan anak lelakinya sebelum menjadi suspek utama kes pembunuhan, siri thriller psikologi itu membawa penonton menyelami rahsia gelap sebuah pekan kecil bernama Kuala Makar.
Diarahkan Ariff Zulkarnain, karya terbitan Astro Shaw itu dibintangi barisan pelakon terkenal termasuk Beto Kusyairy, Zahirah Macwilson, Amerul Affendi, Malek McCrone, Firdaus Karim, Sky Iskandar, Amanda Ang, Mila Mohsin dan Dai Fuad.
Selain kekuatan jalan cerita serta lakonan, pemilihan lokasi penggambaran di sekitar Bukit Merah dan Taiping turut menyumbang kepada pembentukan identiti visual Kuala Makar yang menjadi sebahagian daripada tarikan siri berkenaan.
Dengan pelancaran enam papan tanda itu, Astro Shaw berharap fenomena Kuala Makar tidak terhenti selepas tirai siri berkenaan dilabuhkan, sebaliknya terus meninggalkan kesan melalui kehadiran pengunjung serta limpahan manfaat kepada komuniti dan ekonomi tempatan.