Skip to main content

Malaysia

Anwar belum putuskan rombakan Kabinet

Anwar berkata, Anthony juga masih menyatakan sokongan kepada Kerajaan MADANI dan setakat ini tiada desakan rasmi untuk mengadakan rombakan Kabinet. - Gambar fail
Anwar berkata, Anthony juga masih menyatakan sokongan kepada Kerajaan MADANI dan setakat ini tiada desakan rasmi untuk mengadakan rombakan Kabinet. - Gambar fail
Advertisement

MANILA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum membuat keputusan berhubung kemungkinan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu bagaimanapun belum diterimanya, meskipun menghormati pendirian Anthony yang memilih untuk berundur atas dasar prinsip.

Anwar berkata, beliau sebelum ini sudah meminta Anthony mempertimbangkan semula keputusan berkenaan, namun tetap menghormati pendirian beliau.

Advertisement

“Memang Anthony Loke memilih meletak jawatan bagi dia atas soal prinsip. Saya terpaksa hormat pendirian dia.

“Walaupun saya telah menasihati beliau, kalau boleh memikirkan semula, tetapi beliau atas dasar prinsip ini tidak meminta supaya saya terima letak jawatan yang belum saya lakukan,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di sini, pada Isnin.

Anwar berkata, Anthony juga masih menyatakan sokongan kepada Kerajaan MADANI dan setakat ini tiada desakan rasmi untuk mengadakan rombakan Kabinet.

Katanya, beliau mahu semua anggota pentadbiran memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing dan meneruskan agenda kerajaan ketika ini.

“Memang ada suara-suara sedikit-sedikit, ada yang suruh sambung, ada yang suruh letak, tetapi bagi saya kita ada agenda.

“Kita tumpu kerja sekarang ini, kemudian tengok keadaan masa depan,” katanya.

Mengulas kemungkinan wujudnya ketegangan susulan perbezaan pendirian politik antara parti dalam kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri, Anwar berkata, situasi itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam pentadbiran berasaskan gabungan.

Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan itu tidak semestinya sesuatu yang ideal, namun perlu diterima sebagai realiti politik semasa.

Katanya, kerajaan ketika ini kekal stabil dengan dasar dibincangkan secara bersama dalam mesyuarat Kabinet, selain wujud persefahaman dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.

Beliau berkata, tumpuan ketika ini adalah memastikan pentadbiran terus berfungsi dengan baik dan menawarkan yang terbaik untuk negara.

“Jadi fokuslah pada itu,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement