Skip to main content

Malaysia

PKBM mansuh jawatan pengarah teknikal, bakal lantik jurulatih berprestasi tinggi

Amarjit berkata keputusan memansuhkan jawatan berkenaan serta cadangan pelantikan jurulatih baharu akan dimaklumkan kepada MSN dan pihak berkepentingan lain. - Gambar fail/Bernama
Amarjit berkata keputusan memansuhkan jawatan berkenaan serta cadangan pelantikan jurulatih baharu akan dimaklumkan kepada MSN dan pihak berkepentingan lain. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan untuk memansuhkan jawatan Pengarah Teknikal yang sebelum ini disandang John Beasley dan menggantikannya dengan jawatan Jurulatih Berprestasi Tinggi.

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk berkenaan yang berlangsung di sini semalam.

Beliau yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata PKBM akan mendapatkan khidmat jurulatih berprestasi tinggi dari luar negara bagi mengisi jawatan berkenaan. 

Advertisement

“Keputusan ini dicapai secara sebulat suara. Exco PKBM berpendapat jawatan Pengarah Teknikal yang kali terakhir dipegang oleh Beasley akan dimansuhkan,” katanya dalam kenyataan PKBM hari ini.

Amarjit berkata keputusan memansuhkan jawatan berkenaan serta cadangan pelantikan jurulatih baharu akan dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak berkepentingan lain.

Advertisement

Beliau yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berharap perubahan struktur kejurulatihan itu mampu membuka lembaran baharu buat skuad berbasikal trek negara.

“Saya harap keputusan ini akan memberikan sinar baharu kepada pasukan trek berbasikal Malaysia. Saya tahu bukan mudah untuk cari pengganti sehebat Beasley. Saya mestikan tekankan bahawa PKBM sangat terhutang budi kepada Beasley.

“Bagaimanapun, kita mesti memandang ke hadapan. Jurulatih Berprestasi Tinggi ini mestilah seorang yang sangat ternama dan boleh membawa skuad trek negara ke tahap yang lebih dinamik dan bertenaga. Saya percaya PKBM boleh cari pengganti Beasley,” katanya.

Sementara itu, Amarjit percaya Malaysia masih berpotensi melahirkan pelumba bertaraf dunia seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin, Fatehah Mustafa, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Beasley yang mula berkhidmat sebagai jurulatih trek kebangsaan pada Januari 2006, secara rasmi menamatkan perkhidmatannya pada 31 Okt lepas selepas mengemukakan surat peletakan jawatan pada 1 Ogos dengan notis tiga bulan sebelum meneruskan kerjaya di Jepun.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement