Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan ada pakatan untuk menafikan peluang calon lain bertanding jawatan presiden parti pada pemilihan parti yang akan bermula 25 April ini.

Wan Azizah berkata tindakan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi parti membuktikan kesungguhannya untuk menerajui PKR.

Katanya, keputusan Anwar menarik diri adalah disebabkan kekangan Akta Pertubuhan yang menghalang beliau daripada bertanding selepas diputuskan bersalah oleh Mahkamah Rayuan.

"Tak benar...tak benar. Itu sekadar dakwaan, bukan percaturan politik. Peringkat pimpinan tertinggi parti telah buat keputusan bahawa sudah tiba masanya beliau (Anwar) menerajui parti namun dihalang oleh keputusan mahkamah.

"Namun saya yakin halangan itu akan terus membakar semangat Anwar untuk meneruskan agenda perubahan di Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Anwar berhadapan hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu mendapati ahli parlimen Permatang Pauh itu bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mengulas dakwaan mengatakan PKR sebagai sebagai sebuah parti yang didominasi oleh ahli keluarganya, Wan Azizah berkata, parti itu mengamalkan sistem demokrasi kerana pelantikan kepimpinan tertinggi diputuskan melalui proses pemilihan parti.

"Kita mengamalkan sistem demokrasi kerana melalui pemilihan parti satu undi satu anggota. Yang lain boleh bertanding...tak ada halangan, tapi anggota beri kita peluang. Penerimaan saya sebagai Presiden selama 15 tahun tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Wan Azizah juga kecewa dengan tindakan sesetengah pihak dalam parti itu yang mempersoalkan kemampuannya menerajui PKR.

"Selepas 15 tahun sebagai presiden, kenapa baru sekarang nak persoal kemampuan saya?"