KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang Allahyarham Dr Chandra Muzaffar sebagai seorang pemikir yang berani menyuarakan nasib mereka yang tertindas dan yang mendambakan keadilan.
Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Anwar berkata beliau menerima khabar pemergian Presiden Pergerakan Antarabangsa untuk Dunia yang Adil (JUST) itu dengan rasa dukacita.
“Saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh dan mengurniakan ketabahan kepada keluarganya,” kata beliau.
Chandra meninggal dunia pada usia 79 tahun, semalam.
Pemikir yang dilahirkan di Bedong, Kedah pada 10 Mac 1947 itu ialah seorang ahli sains politik dari segi latar belakang pendidikan dengan memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sains sosial daripada Universiti Singapura pada 1977.
Sebagai seorang penulis prolifik, beliau telah mengarang dan menyunting banyak buku, antaranya Islamic Resurgence in Malaysia (1987), Human Rights and the New World Order (1993), serta Rights, Religion and Reform (2002).
-- BERNAMA