KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku kenegaraan eksklusif berjudul ‘Jejak-Jejak Negara Bangsa’ terbitan Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri.
Akademi Kenegaraan Malaysia memaklumkan majlis pelancaran itu berlangsung sebelum Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Tatakelola Dewan Kenegaraan yang berlangsung di Bangunan Seri Perdana, Putrajaya.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Akademi Kenegaraan Malaysia, buku berkenaan merupakan naskhah dokumentasi visual dan naratif yang merakamkan detik-detik penting negara, kisah pengorbanan tokoh terdahulu serta evolusi pembentukan identiti Malaysia dari era prakemerdekaan hingga fasa pemodenan negara.
“Dihasilkan dengan mutu percetakan dan arkib visual bernilai tinggi, naskhah ini menyorot asas-asas pembinaan negara berasaskan nilai keadilan, integriti, kepelbagaian sosiobudaya dan semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum,” menurut kenyataan itu.
Pelancaran naskhah berkenaan sewaktu Mesyuarat Tatakelola Dewan Kenegaraan merupakan simbol komitmen berterusan kerajaan menerusi akademi itu dalam memastikan agenda pemupukan kefahaman kenegaraan dan patriotisme bergerak seiring dengan tatakelola institusi yang telus, beretika serta berintegriti tinggi selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐋𝐔𝐍𝐂𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐁𝐔𝐊𝐔 “𝐉𝐄𝐉𝐀𝐊-𝐉𝐄𝐉𝐀𝐊 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 𝐁𝐀𝐍𝐆𝐒𝐀” 𝟐𝟐 𝐎𝐤𝐭𝐨𝐛𝐞𝐫 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐊𝐡𝐚𝐦𝐢𝐬 | 𝐁𝐚𝐧𝐠𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐏𝐚𝐫𝐥𝐢𝐦𝐞𝐧 https://t.co/DaZlw7k3eQ
— Akademi Kenegaraan Malaysia (@akm_pmo) October 22, 2026
Menurut kenyataan itu, penerbitan buku berkenaan bukan sekadar sebuah rekod sejarah bergambar, bahkan berperanan sebagai wadah refleksi dan rujukan strategik bagi generasi masa kini serta masa depan untuk memahami akar jati diri watan secara mendalam dan bermakna.
Naskhah ‘Jejak-Jejak Negara Bangsa’ itu akan diedarkan secara percuma kepada perpustakaan utama, institusi pengajian tinggi, perwakilan diplomatik serta agensi-agensi awam terpilih sebagai rujukan wacana kenegaraan dan khazanah dokumentasi negara.
-- BERNAMA