MALAYSIA
Anwar lancar buku tentang Malaysia karya ahli ekonomi terkenal China

Pelancaran itu diadakan di luar pertemuan perniagaan Perdana Menteri dengan pelabur dan pemimpin perniagaan China di sini pada Selasa. - Foto Bernama
BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku hasil karya usahawan, ahli ekonomi dan sarjana terkenal China, Dr Yan Lijin.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan buku karya Dr Yan Lijin bertajuk Malaysia, Truly Asia: A Country That Captivates the Heart, yang turut memuatkan kata pengantar ditulis oleh Anwar.
- Buku ini menonjolkan keindahan Malaysia, visi Malaysia MADANI, pembangunan ekonomi dan sosial, serta peranan negara dalam Inisiatif Jalur dan Laluan.
- Anwar menekankan pengukuhan hubungan Malaysia-China untuk membuka peluang baharu dan menangani cabaran masa depan melalui kerjasama erat.
Dalam kata pengantar itu, Anwar menyatakan bahawa Yan telah memainkan peranan aktif dan penting dalam memupuk hubungan antara China dengan negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Beliau berkata pemahaman dan pengiktirafan Yan terhadap nilai, budaya dan visi pembangunan Malaysia mencerminkan kasih sayangnya yang mendalam terhadap negara ini.
"Selama ini, beliau bukan sahaja menjadi sekutu kepada Malaysia, tetapi juga seorang sahabat sejati," kata beliau.
Anwar berkata buku itu memberi pembaca gambaran yang mempesona tentang Malaysia - sebuah negara yang dinamik dan bertenaga, mengekalkan biodiversiti yang kaya, kepelbagaian budaya, dan memastikan keseimbangan antara tradisi dengan kemodenan.
"Pandangan unik beliau akan memberikan perspektif baharu kepada mereka yang ingin melabur, belajar atau meneroka Malaysia.
"Pemikirannya juga menonjolkan peranan penting Malaysia dalam Inisiatif Jalur dan Laluan dan kedudukan istimewa sebagai hab pertumbuhan ekonomi, integrasi budaya dan industri hijau di Asia Tenggara," kata Anwar.
Perdana Menteri berkata pengukuhan pertukaran antara Malaysia dengan China akan membolehkan kedua-dua negara bekerjasama rapat untuk membuka lebih banyak peluang dan menangani cabaran masa hadapan.
Menurut isi kandungan buku berkenaan, naskhah itu bukan sahaja menghuraikan visi Malaysia MADANI, tetapi juga membincangkan pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia, pertukaran budaya dan prospek masa hadapan Inisiatif Jalur dan Laluan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami