Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah pandangan sesetengah pihak bahawa beliau sudah tua dan tidak lagi relevan sebagai ketua.

Bakal presiden PKR itu berkata, anggapan itu timbul susulan beliau dianggap pemimpin yang sinis terhadap golongan muda.

"Ini tidak benar. Saya adalah di antara pemimpin yang paling banyak beri ruang kepada pemimpin muda.

"Tetapi, saya juga yang paling keras mengingatkan mereka bahawa, jangan pijak rakyat yang pernah mengangkat dan mendukung kita," katanya.

Ketua Umum PKR itu berkata demikian ketika berucap pada pada majlis makan malam Pidato Malaysia Baharu: Mengisi Harapan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Anwar menjelaskan pengalaman menghabiskan masa 11 tahun dalam penjara menjadikan beliau seorang yang benar-benar memahami masalah rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.



Katanya, banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang "keluar masuk penjara", antaranya beliau menjadi insan yang lebih pemaaf dan mudah rasa simpati terhadap mereka yang ditimpa derita.

"Ramai yang tanya, (selama) 11 tahun, Anwar ada belajar apa-apa tak keluar masuk penjara?.

"Ada, saya menjadi lebih pemaaf, lebih simpati tentang derita orang.

"Saya lihat anak muda dalam usia 14 tahun ditangkap, matanya lebam, kerana curi sepasang seluar jeans, tetapi yang rompak duit berbilion, naik pangkat jadi Tan Sri," katanya lagi.

Anwar akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson selepas penyandang kerusi Parlimen tersebut Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkannya pada 12 Sept lalu.

BACA: Saya sudah telefon Tun M maklum Port Dickson pilihan saya

BACA: Anwar sendiri pilih bertanding di Port Dickson - Saifuddin


Danyal bertindak demikian dalam satu langkah pelan peralihan kuasa bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam PRK dan seterusnya menjadi ahli Parlimen dan perdana menteri kelapan.