KUALA LUMPUR:Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasuki Pintu 2 Istana Negara pada pukul 10.25 pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR tiba dengan sebuah kenderaan Jaguar, dengan diiringi sebuah kereta MPV hitam.

Bagaimanapun, media yang menunggu seawal pukul 7.30 pagi gagal mendapatkan sebarang komen dari Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Dalam pada itu, petugas media yang masing-masing memakai pelitup muka dinasihati anggota polis bertugas agar menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan COVID-19.


Petugas media yang berkumpul di luar Istana Negara mendapat kejutan istimewa apabila Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim mendekati mereka dan memberikan sarapan pagi.

BACA: Anwar menghadap Agong: Istana Negara jadi tumpuan media

BACA: Anwar menghadap Agong: Ini mungkin situasi yang akan berlaku esok - Pakar Perlembagaan


Khamis lepas, Anwar dilaporkan berkata Al-Sultan Abdullah telah memperkenan beliau menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya.


Pada 23 Sept, Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan 'kukuh dan meyakinkan' daripada kalangan Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Kira-kira pukul 11.30 tadi, Anwar selesai menghadap Agong dan dilihat meninggalkan Istana Negara.


Dalam pada itu media turut menerima perkhabaran bahawa Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah turut diperkenan untuk menghadap Tuan Agong pada pukul 2 petang ini.