MALAYSIA
Anwar tiba Jakarta untuk perjumpaan dengan Presiden Prabowo
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi ke Indonesia.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta untuk lawatan rasmi ke Indonesia, disambut oleh Presiden Prabowo Subianto, sebagai sebahagian daripada persiapan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
- Lawatan ini melibatkan pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala antara Anwar dan Prabowo, dengan tumpuan kepada kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, komunikasi, komoditi dan hal ehwal serantau.
- Delegasi Malaysia turut disertai lima menteri Kabinet, dan majlis sambutan rasmi diadakan di Istana Merdeka termasuk pemeriksaan barisan kehormatan serta sesi menandatangani buku pelawat.
Dalam perjumpaan dengan Prabowo, Anwar dijangka membincangkan isu-isu dua hala utama, susulan penglibatan ASEAN baru-baru ini, di samping meneroka agenda bagi mengukuhkan kestabilan serantau ketika Malaysia dan Indonesia meningkatkan lagi kerjasama strategik mereka.
Di Istana Merdeka, Perdana Menteri yang disambut oleh Prabowo diberi penghormatan memeriksa barisan kehormatan oleh Pasukan Keselamatan Presiden, sebelum majlis sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya saling memperkenalkan menteri Kabinet masing-masing, diikuti sesi bergambar dan menandatangani buku pelawat.
Menteri-menteri Kabinet yang menganggotai delegasi dari Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Program diteruskan dengan pertemuan empat mata antara Anwar dan Prabowo, sebelum disusuli dengan mesyuarat dua hala lanjutan yang melibatkan menteri dari kedua-dua negara.
Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, pendidikan, komunikasi, komoditi, dan hal ehwal serantau, selaras dengan portfolio menteri yang diwakili dalam delegasi Malaysia.
Lawatan itu juga merupakan sebahagian daripada persiapan untuk Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13, yang dijadualkan berlangsung akhir tahun ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami