KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menjawab beberapa persoalan mengenai Sistem Pembayaran Tanpa Tunai Bersepadu (ICPS) di bawah kelolaan syarikat Transit Acquirer Sdn Bhd (TASB).

Anwar mendakwa, sistem yang beroperasi pada 2019 telah membelanjakan ratusan juta ringgit sejak tahun 2015 hingga 2018.

Namun sehingga kini katanya, tiada sebarang sistem yang dibangun digunapakai dan perkara itu merupakan pembaziran dana rakyat, sekali gus memberi kerugian besar kepada negara.

“Saya pernah membangkitkan perihal TASB yang ingin membangunkan ICPS untuk sistem pembayaran kesemua tambang keretapi dan bas di seluruh Lembah Klang.

“Saya dimaklumkan awal tahun ini Syarikat Milik Menteri Kewangan (MOFI) mahu memulakan semula projek ini dan telah mengeluarkan satu tender untuk mengenyahkan 70 peratus pemilikan dalam TASB yang dianggarkan bernilai RM400 juta ringgit.

“Justeru terdapat banyak kekeliruan yang perlu dijawab segera oleh Menteri Kewangan berhubung perkara ini, antaranya berdasarkan dokumen tender, TASB dikatakan bernilai RM400 juta atas dasar apa?,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Isnin.


Anwar turut menuntut penjelasan Tengku Zafrul mengenai faktor pelupusan pemilikan TASB yang menjadi aset strategik negara serta siapa yang menentukan penjualan 70 peratus pemilikan syarikat itu.

“Kenapa Kementerian Kewangan memberikan konsesi kepada TASB selama 20 tahun? Kenapa setiap operator transit perlu membayar kepada TASB walaupun setiap operator telah mempunyai vendor yang melaksanakan platform pembayaran terbuka?

“Dalam dokumen-dokumen tender, dinyatakan bahawa pembida yang berjaya akan ditentukan MOFI tanpa sebarang alasan dan ia tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara MOFI.

"Ini jelas satu peluang dan alasan untuk salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut berpandangan bahawa TASB tidak sepatutnya dijual sehingga kerugian yang berlaku sebelumnya disiasat dan dipertanggungjawabkan.

Katanya, MOFI tidak sepatutnya cuba menutup kerugian dengan menjual syarikat tersebut seperti diarahkan kerajaan di bawah Exclusive Rights Agreement (ERA) dengan konsesi selama 20 tahun.


*Berita asal di Sinar Harian