Skip to main content

Malaysia

Anwar ucap terima kasih kepada Putin atas sokongan terhadap kerjasama tenaga, PETRONAS

KAZAN, June 18 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (second, left) during a bilateral meeting with Russian President Vladimir Putin at the Bilateral Room, Tatar State Academic Theatre, today.  Also present are Investment, Trade and Industry Minister Datuk Seri Johari Abdul Ghani (third, left) and Economy Minister Akmal Nasrullah Mohd Nasir( left).  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Anwar (dua dari kiri) ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin di Bilik Mesyuarat Dua Hala, Teater Akademik Negeri Tatar. - Foto BERNAMA

KAZAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin atas sokongan Rusia dalam memperkukuh kerjasama tenaga dengan Malaysia, khususnya Petroliam Nasional  Bhd (PETRONAS).

Anwar berkata mekanisme dua hala antara Malaysia dan Rusia telah berkembang dengan meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, kewangan dan ekonomi halal.

Selain itu, Malaysia juga sedang hampir memuktamadkan pengaturan liberalisasi visa dengan Rusia, yang akan memudahkan lagi pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua negara, kata beliau dalam ucapan pembukaan pada mesyuarat dua hala dengan Putin di sini, pada Rabu.

Sebagai rekod, Rusia menyasar untuk memansuhkan keperluan visa bagi warganegara Malaysia, Indonesia dan Kuwait pada tahun ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Kementerian Luar Rusia akan meningkatkan usaha untuk memuktamadkan dan menyelaraskan perjanjian yang berkaitan.

Beliau yang menzahirkan rasa terima kasih kepada Putin atas sokongan Rusia itu berkata PETRONAS telah bekerjasama dengan rakan niaga dan syarikat Rusia untuk memajukan kerjasama dalam sektor tersebut.

“Anda telah memberikan sokongan yang kuat. Terima kasih banyak-banyak. PETRONAS berada di sini bersama-sama rakan niaga Rusia (Rosneft). (PETRONAS juga mengadakan mesyuarat) dengan beberapa syarikat lain di sini,” kata beliau.

PJSC Rosneft Oil Company ialah syarikat tenaga bersepadu terbesar di Rusia dan satu daripada syarikat minyak dan gas awam terbesar di dunia, yang menjalankan aktiviti cari gali, pengeluaran, penapisan dan penjualan produk petroleum hidrokarbon.

Syarikat itu beribu pejabat di Moscow dan menyumbang kira-kira 40 peratus kepada jumlah pengeluaran minyak Rusia.

Pada April, Anwar berkata PETRONAS akan berunding dengan Rusia bagi mendapatkan bekalan minyak yang mencukupi untuk keperluan domestik justeru hubungan baik Putrajaya dengan Moscow meletakkan Malaysia pada kedudukan yang baik untuk meneruskan rundingan tersebut.

Perdana Menteri berkata Malaysia amat menghargai komitmen Putin untuk meningkatkan kerjasama tenaga dan sokongan yang diberikan semasa krisis tenaga.

Beliau juga menyatakan harapan agar Rusia akan terus menyokong usaha dalam bidang lain seperti meningkatkan kesambungan udara antara Malaysia dan bandar-bandar Rusia, termasuk Moscow dan Kazan, sekali gus melonjakkan sektor pelancongan, perdagangan dan hubungan antara rakyat.

Anwar berkata kedua-dua negara sedang meneroka kerjasama dalam kewangan dan ekonomi halal  manakala perbincangan mengenai perdagangan dan pelaburan terus berjalan dengan mencapai kemajuan yang baik.

Pada 2024, jumlah perdagangan ASEAN-Rusia mencecah AS$18.1 bilion, manakala pelaburan langsung asing Rusia di ASEAN mencatatkan RM367.90 juta (AS$92.97 juta).

Bagi Malaysia, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar daripada kalangan negara Eropah pada 2025, dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.72 bilion (AS$2.04 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta produk makanan yang diproses, manakala import utama dari Rusia termasuk produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.

Anwar berada di Kazan, ibu kota dan bandar terbesar Tatarstan, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia dari 17 hingga 18 Jun.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement