Skip to main content

Malaysia

Anwar arah MetMalaysia segerakan pembenihan awan di Kedah, Perlis

𝐋𝐚𝐩𝐨𝐫𝐚𝐧 𝐎𝐩𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐞𝐧𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐀𝐰𝐚𝐧 (𝐎𝐏𝐀) 𝐝𝐢 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐤𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐉𝐨𝐡𝐨𝐫 Alhamdulillah, Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Melaka dan Johor yang berlangsung dari 20 hingga 23 April 2026 telah selesai dilaksanakan. Operasi kali ini dilaksanakan di 8 empangan dan 2 loji rawatan air di negeri Melaka pada 20 hingga 21 April 2026, diikuti negeri Johor pada 22 hingga 23 April 2026.
Pembenihan awan disifatkan keperluan mendesak dalam mendepani situasi cuaca semasa. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk menyegerakan pelaksanaan operasi pembenihan awan di negeri-negeri yang berada pada tahap kritikal, khususnya Kedah dan Perlis.

Beliau berkata langkah itu merupakan keperluan mendesak dalam mendepani situasi cuaca semasa, selain menyarankan penggunaan teknologi dron bagi mengatasi kekangan logistik  agar operasi berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Advertisement

“Saya arahkan MetMalaysia menyegerakan pelaksanaannya, termasuk meneroka penggunaan teknologi dron serta kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menampung kekurangan pesawat bersesuaian, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi meneliti perancangan dasar serta keutamaan kementerian sepanjang tahun ini.

Selain isu cuaca, pertemuan itu turut membincangkan perkara berkaitan kebajikan tiga ekor gajah milik Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada di Jepun.

Beliau berkata kebajikan haiwan berkenaan perlu menjadi keutamaan NRES dan Zoo Taiping, selain menuntut ketelusan maklumat kepada orang awam.

“Sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik Dara, Amoi dan Kelat. Maklumat yang telus dan berfakta perlu disalurkan secara berterusan agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan mereka di sana,” katanya.

Penempatan tiga gajah milik Malaysia di Jepun mencetuskan perdebatan hangat apabila timbul dakwaan mengenai tahap kebajikan haiwan berkenaan yang dikatakan tidak berada pada tahap sewajarnya, yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat negara ini.

Perkara itu dibangkitkan seorang rakyat Malaysia yang berkongsi pengalamannya selepas melawat Zoo Tennoji di Jepun, dan melihat sendiri keadaan tiga gajah terbabit yang dilaporkan ditempatkan dalam persekitaran panas serta kering, dengan kekurangan elemen semula jadi seperti tumbuhan hijau mencukupi.

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan kepentingan aspek pengurusan dan tadbir urus berkesan dalam kementerian berkenaan. 

“Mengakhiri pertemuan, saya tegaskan kepentingan tatakelola berkualiti, integriti yang utuh dan sifar toleransi terhadap ketirisan. Inilah asas kepada ikhtiar kita dalam membina Malaysia yang inklusif, makmur dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video