Multaqa Ulama Se-Malaysia turut mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar'iyyah. -- Resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia di Alor Setar, 14 September 2013
KUALA LUMPUR: Resolusi Multaqa (Persidangan atau perhimpunan) Ulama Se-Malaysia yang menyarankan supaya disemak semula Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) menimbulkan persoalan apa yang dimahukan oleh golongan ulama dalam Pas.
Ucaptama yang dibacakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyarankan agar parti itu perlu menilai kebaikan dan keburukan hubungan PAS dengan PKR.
Saranan tersebut dilihat atau dibaca sebagai isyarat bahawa golongan ulama dalam Pas mahu supaya menerusi pemilihan parti yang dijadualkan pada November depan, perwakilan akan memberi tempat kepada mereka untuk menduduki jawatan utama seperti Presiden, Timbalan Presiden dan ketiga-tiga jawatan Naib Presiden.
Malah saranan tersebut — biarpun dinafikan sehari selepas itu bahawa ia cadangan supaya keluar dari Pakatan Rakyat — dibaca sebagai usaha untuk membawa Pas keluar daripada Pakatan Rakyat dan bekerjasama dengan Umno, satu kerjasama yang diidamkan oleh golongan ulamak sejak 9 Mac 2008, sehari selepas PRU-12.
Mengulas perkara ini, penganalisis politik Prof. Madya Datuk Mohammad Agus Yusoff berpendapat, resolusi perhimpunan itu bersifat mengundur ke belakang dan tidak sesuai dengan perkembangan semasa politik negara.
Beliau berkata, golongan ulama dalam Pas tidak sedar bahawa parti itu berjaya meluaskan pengaruhnya bukan kerana kekuatannya bertanding secara sendirian tetapi kerana kerjasama dengan beberapa parti pembangkang yang lain.
Katanya, sejak menamatkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1978, politik Pas tenggelam dan hanya kembali pulih apabila bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah ketika PRU tahun 1990, Barisan Alternatif pada PRU tahun 1999 dan bersama Pakatan Rakyat pada tahun 2008 dan 2013.
Mohammad Agus berkata jika Pas memutuskan untuk keluar dari Pakatan Rakyat dan bekerjasama dengan UMNO, ia tidak akan menguntungkan Pas sebaliknya ia akan memberi masalah kepada parti itu.
"Masalah dengan ulamak Pas ini, setiap kali prestasi mereka tidak memuaskan mereka akan minta supaya dikaji kerjasama dengan parti terbabit.
"Mereka menganggap hanya mereka saja yang betul, mereka saja yang baik. Ini masalah golongan ulama dalam Pas," katanya kepada Astro AWANI.
Mohammad Agus menyifatkan cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami faqih tentang Islam dan realiti semasa sebagai nakal.
"Apakah kumpulan ulama ini ingat hanya ulama sahaja memahami Islam dan realiti semasa? Bagi saya, kumpulan inilah yang tidak memahami realiti politik semasa.
"Tindakan kumpulan ini adalah menjauhkan lagi masyarakat dengan Pas," katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr Shaharuddin Baharuddin berkata dari segi akademik, kehadiran Pakatan Rakyat dalam politik negara memberi kesan besar kepada negara.
Katanya, kewujudan BN yang penuh pengalaman dan Pakatan Rakyat yang baru memberi banyak manafaat kepada rakyat kerana wujudnya sistem semak dan imbang.
"Golongan ulama Pas, sepatutnya melihat peranan Pas dalam Pakatan Rakyat dalam konteks yang lebih besar iaitu memberi manafaat yang besar kepada rakyat.
"Adanya Pas bersama Pakatan Rakyat menjadikan kumpulan yang membuat semak dan imbang kepada BN lebih berperanan biarpun tidak menguasai kerajaan.
"Golongan ulama sepatutnya melihat perkara tersebut, melihat sumbangan besar yang Pas berikan sejak bersama Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau seterusnya berkata, Pas mempunyai banyak program di kawasan luar bandar tetapi kebanyakannya lebih tertumpu sesama mereka berbanding melibatkan diri dengan masyarakat.
Tidak dinafikan terdapat pihak-pihak seperti NGO dan tokoh akademik yang menyarankan supaya Pas meninggalkan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat dan seterusnya berjuang sendirian. Alasan yang diberikan, dengan kaedah itu Pas akan lebih dihormati dan diterima oleh pengundi Islam.
Tetapi, jika dilihat realiti masyarakat di negara ini, mereka yang memahami sepak terajang politik tahu bahawa untuk berkuasa, tidak dapat tidak, Pas perlu bekerjasama dengan parti-parti lain dari berbagai kaum. Sama juga seperti Umno yang berkuasa dengan kerjasama mereka dengan MCA, MIC dan parti-parti lain yang bergabung membentuk BN.
Kemerosotan yang dialami ketika PRU-13 bukanlah disebabkan kerjasama dengan PKR atau orang Melayu menolak parti itu tetapi kebanyakan kerusi yang ditandingi Pas musuhnya ialah Umno. Untuk mengatasi masalah tersebut, Pas perlu mengubah strategi mereka, membuat lebih banyak program yang melibatkan masyarakat dan bukan eksklusif dengan ahli mereka sahaja terutama di luar bandar.
Menurut Shaharuddin, kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi oleh Pas seluruh negara pada PRU-13 bertambah berbanding 2008. Hanya kerusi parlimen Pas mengalami kemerosotan dengan hilang dua kerusi berbanding sebelumnya.
Dewan Ulama yang diketuai oleh Harun Taib sepatutnya lebih bersabar dan memahami Islam. Jika golongan ulamak Pas melihat kerugian, dalam masa sama mereka juga perlu melihat apa untungnya kerjasama yang dijalinkan. Jika sebelum ini Pas sukar menembusi Johor, Pahang dan negeri-negeri di Pantai Barat, kini mereka semakin diterima seperti di Selangor yang mana Pas berjaya menambah kerusi.
Saranan Nik Abdul Aziz supaya Pas wajib melangkah ke hadapan dengan memahami keadaan politik di Malaysia dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik untuk masyarakat majmuk selagi tidak melanggar hukum dan syariat serta tidak mengurung diri dalam pemikiran yang dicipta sendiri sepatutnya menjadi panduan Dewan Ulama Pas.
Apa yang dikatakan oleh Nik Abdul Aziz itu boleh dilupakan jika golongan ulama berhasrat untuk Pas kekal sebagai pembangkang.