Medan perang segmen B memang cukup sengit. Honda City, Toyota Vios dan Nissan Almera (dahulunya diwakili oleh Latio) merupakan pihak-pihak yang sudah matang dan cukup dikenali. Tetapi hanya satu daripada yang tersenarai di situ boleh dikira layak serta relevan kepada pemandu sekarang yang lebih inginkan ciri-ciri yang memberi keselamatan, keselesaan dan kesenangan. (Hint jawapan: lihat tajuk serta gambar-gambar artikel ini)
Honda City terbaharu jujurnya satu percubaan yang cukup hebat sebagai sebuah kereta yang ditugaskan untuk memamah penguasaan yang dipegang oleh Vios. Ia bukannya satu tugas yang mudah, tetapi Honda bernasib baik kerana Toyota bagaikan tidak berminat pun hendak memenuhi kehendak orang ramai yang inginkan lebih nilai daripada sedan mereka. (Apa lagi alasan yang boleh difikirkan untuk tetap menggunakan kotak gear 4-kelajuan, kan?)
(Klik sini untuk galeri gambar Honda City 1.5 V Modulo)
Model City pun sudah pergi jauh, dahulunya ia tidak lebih sebuah kereta yang sekadar boleh membawa penumpangnya dari A ke B. City generasi terdahulu agak memuaskan, tetapi masih kekal dengan resipi segmen B waktu itu: jangan terlalu pemurah dengan spesifikasi. Tetapi keadaan sudah berbeza.
Sekarang, model City sudah boleh gah dengan ciri-ciri yang boleh sahaja disamakan dengan sebuah segmen C moden. Bukan itu sahaja; saiz kabinnya sangat luas. Kali pertama saya dapat memandu kereta ini di Thailand (sebelum ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia), saya boleh duduk di kerusi belakang sambil menyilang kaki tanpa langsung terasa sempit.
Rekaan luar
Jika kereta yang diuji kami kelihatan agak ‘didandan’, ia kerana segala penambahan daripada kit Modulo berharga RM3,200 yang termasuk kos untuk mengecat kit itu ke warna kereta anda, dan pemasangan. Ia memang menolong untuk menjadikan model City kelihatan lebih ‘sporty’, tetapi tanpa kit Modulo inipun kereta ini tidaklah pula kelihatan kurang ‘sempurna’.
Di dalam kabin
Mungkin kami tidak perlu lagi mengungkit tentang betapa luasnya ruang dalam kereta ini, bukan? Dan ia bukan sahaja untuk keselesaan penumpang, tetapi ruang but yang besar juga menjadikan ia sebuah kereta keluarga yang efektif.
Sebagai Honda City varian paling tinggi (City V), kita dapat melihat kawalan sistem pendingin yang menggunakan panel sentuh. Pemain multimedianya pula menggunakan unit skrin sentuh 7 inci. Terdapat juga banyak ruang untuk menyimpan barang – pemegang cawan sahaja ada 8, jadi tiada masalah untuk barang-barang kecil termasuk telefon bimbit.
Dan tambahan untuk itu, ada disediakan 2 slot USB yang boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit, tablet dan sebagainya. Jika itupun tak cukup (saya sendiri gunakan slot USB khusus sebagai sumber fail-fail muzik), terdapat 3 soket 12 volt yang boleh digunakan. Nota: Ini cuma untuk City varian V dan E. 2 lagi varian-varian S dan S+ cuma mempunyai 1 soket 12v dan 1 slot USB. Varian V juga dilengkapi dengan sambungan HDMI untuk ketersambungan terus dengan telefon dengan sistem iOS (iPhone).
Dan juga penting untuk disebut adalah corong penghawa dingin untuk penumpang belakang.
Keselamatan
Seperti yang disebut awal-awal tadi, jika anda belum yakin bahawa kereta ini menyaingi model segmen C, Honda City varian V ini turut mempunyai sistem VSA (Vehicle Stability Assist) yang berfungsi untuk memastikan kenderaan tidak hilang kawalan.
Antara ciri-ciri lain yang datang dengan varian V ini adalah beg udara ‘curtain’, beg udara sisi dan ijuga Hill-Start Assist. Walaupun varian-varian lain tidak mempunyai VSA, ia masih lagi dipasang kelengkapan seperti beg udara berkembar, ISOFIX pada kerusi belakang dan juga 4 sensor undur.
(Klik sini untuk galeri gambar Honda City 1.5 V Modulo)
Varian City V ini mendapat markah penuh 5 bintang hasil daripada ujian pelanggaran ASEAN NCAP.
Pemanduan
Sebagai sebuah sedan segmen B yang direka untuk kegunaan seharian – kemungkinan besar juga sebagai kereta utama keluarga – jangan pula mengharap Honda City ini dapat memberi pengendalian seperti Civic Type R. Namun, itu tidak bermakna bahawa kereta ini tidak mampu untuk dicabar. Dengan VSA, berat kereta hanya 1,106kg, dan enjin dengan output 118hp, ia memang menyeronokkan untuk dipandu.
Perubahan yang mungkin paling ketara dapat dirasai pada City generasi baharu ini adalah ia jelas lebih mewah dari segi ketenangan ketika pemanduan. Kotak gear CVT-nya tidak lagi meraung seperti beruang panda tertelan buluh runcing apabila pendikit dipijak sehingga habis; ia jauh lebih senyap daripada sebelumnya.
Prestasi enjin 4 silinder, SOHC i-VTEC yang digunakan juga terasa lebih ringan, dan mempunyai tindakbalas yang lebih pantas. Mungkin juga ini adalah manfaat yang diberikan oleh kotak CVT yang disebut tadi, tapi yang penting kualiti pemanduan telah meningkat.
Begitu juga mengenai soal keselesaan. Mungkin tidak banyak perbezaan daripada prestasi sistem suspensi kereta ini secara spesifik, tetapi apabila digabung dengan ruang kabin lebih lapang, gangguan bunyi daripada enjin serta kotak gear yang lebih rendah; ditambah lagi dengan corong penghawa dingin tersendiri untuk penumpang belakang, memang sukar untuk mencari kelemahan yang begitu ketara bagi sedan ini.
Rumusan
Pasti masih ada yang kurang yakin dengan kemampuan kereta ini yang ‘hanya’ mengunakan brek drum pada tayar belakang. Jawapan Drebar mudah: kereta yang ringan dan bukan pun direka untuk pemanduan agresif tidak begitu memerlukan brek cakera pada kesemua tayar. Sistem VSA lebih penting kerana ia berfungsi untuk memastikan pemandu sentiasa mempunyai kawalan yang cukup.
Laporan ‘Jimat Minyak Tak?’ kami perlu juga diambil kira dan secara keseluruhan Honda City V dengan kit Modulo ini memang satu pakej yang sangat menyinar. Tidak hairanlah jika Honda Malaysia berasa yakin dengan produk-produk terbaharu mereka, khususnya Honda City yang jelas mampu untuk menjadi ‘johan’ sedan segmen B.
(Klik sini untuk galeri gambar Honda City 1.5 V Modulo)
Model | Honda City 1.5L V | |||||
Enjin | 1,497cc, 4-silinder sebaris, SOHC i-VTEC | |||||
Gear | CVT | |||||
Pacuan | FWD (pacuan roda hadapan) | |||||
Prestasi | 118bhp @ 6,600rpm, 145Nm @ 4,600rpm | |||||
Potensi | 0-100km/j @ 10.8 saat, Maksima 190km/j | |||||
Keselamatan | 6 Beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Hill-start assist | |||||
Berat | 1,106kg | |||||
Harga | RM90,800 (atas jalan + insurans) + RM3,200 (pakej Modulo) |