PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggantung lesen pengendali lori yang merempuh lima kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 6 Sept lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Penggantungan itu diputuskan selama tiga bulan bermula 27 Sept atau sehingga syarikat memenuhi keperluan Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) sepenuhnya.

Beliau berkata tindakan diambil selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715) yang mana syarikat telah gagal melaksanakan ICOP tanpa sebab munasabah telah melanggar syarat lesen serta melibatkan risiko keselamatan kepada pemandu, pengguna jalan raya dan juga orang awam.

Wee berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) sentiasa memandang serius isu berkaitan keselamatan kenderaan pengangkutan awam yang menyebabkan bahaya terhadap keselamatan orang ramai.

BACA: Pemandu lori rempuh lima kereta di lampu isyarat

"MOT tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan berkaitan pematuhan permit serta lesen oleh pengendali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) tular di media sosial memaparkan sebuah lori tanpa muatan merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah pada 6 Sept lepas.

"Kami berharap tindakan ini dapat memberi pengajaran kepada pengendali terlibat serta peringatan kepada keseluruhan industri pengangkutan awam dan perdagangan," katanya.

-- BERNAMA