DARI zaman pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 sehinggalah hari ini, negara kita telah beberapa kali diuji dengan pelbagai cubaan – dari masalah ancaman pengganas komunis, rusuhan kaum 1969, bencana alam seperti banjir besar dan jerebu sehinggalah ke wabak penyakit seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003, H1N1 pada tahun 2009 dan terkini COVID-19 yang mencengkam negara.

Virus Wuhan atau nama lainnya, SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 boleh dipindahkan dari individu ke individu yang lain menerusi close contact atau interaksi yang dekat dengan individu yang telah dijangkiti.

Virus ini telahpun membunuh hampir 7,000 individu di seluruh dunia. Virus yang berasal dari kota Wuhan, China ini dipercayai berasal daripada amalan masyarakat China di Wuhan yang menjadikan bintang eksotik seperti ular dan kelawar sebagai makanan mereka.


Pasar Hidupan Liar Wuhan yang menjual haiwan-haiwan ini telahpun ditutup sejak 1 Januari 2020 bagi menghalang penularan virus ini.

Virus yang menyebabkan Covid-19 ini telahpun merebak ke merata dunia dan singgah di Malaysia pada 25 Januari 2020 dengan kes pertama dilaporkan di Sungai Buloh, Selangor, dibawa masuk oleh pelancong-pelancong dari Republik Rakyat China.

Pada 27 Januari 2020, kerajaan hanya mengenakan sekatan perjalanan kepada rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei.

Dari hari ke hari, virus Wuhan ini terus menghantui dunia dan telah melumpuhkan bukan sahaja China, malah Korea Selatan dan yang terkini memporak-perandakan masyarakat di Itali, Iran, Sepanyol, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Norway dan Jepun.

Itali kini adalah negara kedua di dunia paling teruk terjejas dengan lebih 24, 000 kes jangkitan dilaporkan.

Perintah berkurung dan/atau kawalan pergerakan telahpun dijalankan oleh beberapa negara yang paling terjejas ini bagi membendung penularan virus ini.

Pada awal kedatangan virus ini ke Malaysia, ia masih lagi terkawal dan dikatakan dapat dibendung.

Malah, rakyat Malaysia lebih tertumpu kepada perpindahan kuasa daripada Pakatan Harapan ke Perikatan Nasional dan terlupa sebentar ancaman wabak COVID-19 ini kepada negara.

Walaubagaimanapun, gelombang kedua wabak COVID-19 ini adalah sesuatu yang tidak boleh diendahkan.

Dalam minggu ini sahaja, virus Wuhan ini telahpun menjangkiti lebih daripada 300 individu menjadikan jumlah yang terjangkiti melebihi 500 orang. Setakat ini, belum ada kematian yang direkodkan akibat COVID-19 di Malaysia.

Kebimbangan ini tentunya meresahkan rakyat. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah, menerusi perutusan beliau pada hari Isnin, 16 Mac 2020 mengarahkan agar Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di seluruh Malaysia dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020, pertama seumpamanya yang pernah dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Perintah kawalan pergerakan ini bukanlah perintah berkurung ataupun darurat tetapi lebih kepada satu bentuk inisiatif untuk menjarakkan hubungan sosial.

Oleh kerana itu, semua premis kerajaan dan swasta telah diarahkan ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting, termasuk peruncitan dan bekalan makanan.

Dengan itu tidak ada sebab untuk rakyat Malaysia untuk takut serta gusar dengan melakukan pembelian barang-barang runcit secara panik.

Dalam tempoh ini, rakyat Malaysia juga ditegah meninggalkan negara. Oleh kerana perintah ini bukanlah lockdown atau perintah berkurung, warga tidak berhadapan sebarang sekatan untuk bergerak di dalam Malaysia.

Sebarang perhimpunan keagamaan, sosial dan sukan wajib dibatalkan atau ditunda. Pelancong asing pula disekat daripada memasuki tanahair.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan ini hanyalah penguatkuasaan terhadap beberapa kuasa yang telah diberkan oleh Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengawal dan membendung penyebaran sesuatu penyakit berjangkit. Seksyen 11 (2) apabila dibaca dengan Seksyen 31 Akta 342 telah memberikan kuasa kepada Menteri untuk menetapkan langkah-langkah yang diambil untuk mencegah penularan penyakit serta untuk membuat peraturan-peraturan bagi melaksanakannya.

Sekiranya ada yang berdegil dan tidak mahu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini, pegawai-pegawai yang terlibat dalam penguatkuasaan perintah ini boleh meminta bantuan pihak polis dalam memastikan kelancaran penguatkuasaanya, seperti yang termaktub dalam Seksyen 5, akta yang sama.

Sekiranya rekod kerajaan menangani krisis bencana alam, ekonomi, rusuhan kaum dan wabak penyakit ditelaah, boleh dikatakan kerajaan Malaysia mempunyai rekod yang baik dalam memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara sebaiknya.

Kerajaan telah berjaya membawa rakyat keluar daripada pelbagai krisis yang melanda negara.

Buktinya, sewaktu negara dibelenggu wabak SARS, Japanese Encephelitis dan Virus Nipah tidak lama dahulu, kerajaan telah bersama dengan rakyat dalam menempuh kesulitan ini bersama sehingga negara kembali pulih sepenuhnya.

Memang benar ada segelintir rakyat yang tidak berpuas hati dengan perkembangan politik yang terjadi sehingga berlakunya perubahan kuasa daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional.

Memandangkan negara kini sedang berhadapan wabak yang berbahaya, rakyat Malaysia haruslah berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan bagi membendung virus Wuhan ini daripada terus mengganas di tanah air kita.

Rakyat perlulah saling tolong menolong, tidak mementingkan diri sendiri, berfikir secara matang dan memberikan kepercayaan kepada kerajaan dalam mengharungi dugaan ini.

Patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan ini agar negara akan segera bebas daripada ancaman virus berbahaya ini. Dengan kerjasama semua, Malaysia akan berupaya untuk pulih seperti sediakala.



* Leftenan Komander Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut diRaja Malaysia) dan Dr. Fareed Mohd Hassan adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

**
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.