Radio Selangor Barisan Nasional (BN) yang dikenali sebagai SelangorBN.FM kini boleh didengar menerusi telefon pintar yang boleh dimuat turun pengguna secara percuma melalui platform iOS.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata pengguna telefon pintar boleh memuat turun aplikasi itu dengan menaip 'selangorbnfm' di ruangan Appstore atau pun Google Play sebelum menyimpannya ke dalam telefon masing-masing.

"Sehingga kini terdapat 100 individu yang telah memuat turun aplikasi radio BN.FM ini sebelum dilancarkan dan kita yakin mampu mencapai 200,000 muat turun menjelang akhir Februari ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi itu di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah pendengar radio itu yang juga boleh diakses menerusi laman web www.selangorbn.fm kini mencecah 80,000 orang sejak dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Januari lepas.

Mohd Zin berkata radio itu menjadi alternatif untuk rakyat Selangor memberikan pandangan, mengutarakan aduan dan masalah mereka selain mendapatkan maklumat terkini berkaitan program anjuran BN Selangor.

Mohd Zin berkata beberapa slot rancangan turut disediakan dalam siaran radio itu untuk menjawab terus aduan dan persoalan yang dibangkitkan seperti 'Aduan Rakyat' dan 'Bersama Pemimpin' yang dibawa secara langsung.

Beliau berkata radio itu juga akan menjadi saluran untuk BN menerangkan sebarang isu berbangkit di Selangor selain mendapat maklumat dan berita terkini menerusi rancangan 'Berita @ Info'.

"Kita yakin melalui pelancaran aplikasi ini akan menarik lebih ramai golongan muda mendekati BN dan mendapat maklumat secara terus termasuk mengenai aktiviti dan isu berbangkit," katanya.