Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan lapan kru sebuah kapal kargo yang hampir karam akibat dipukul ribut dalam kejadian kira-kira 17 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu hari ini.

Pemangku Pengarah APMM Sarawak, Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata mereka diselamatkan oleh petugas dua bot APMM serta sekumpulan nelayan tempatan selepas kira-kira sejam berada di atas sebuah rakit keselamatan dalam kejadian pada 9.50 pagi tadi.

"Kesemua mangsa dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan. Siasatan awal mendapati kesemua mangsa merupakan warga Indonesia yang berumur lingkungan 20 hingga 71 tahun," katanya dalam kenyataan.

Berikutan insiden itu, beliau meminta komuniti maritim terutamanya di Bintulu, agar mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

-- BERNAMA