MALAYSIA
APMM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai hampir RM900,000

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan lapan guni pelbagai warna mengandungi 157 ketulan daun kering mampat disyaki ganja yang dibungkus. - Bernama
KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 170 kilogram (kg) ganja mampat bernilai hampir RM900,000 yang dipercayai dari negara jiran di perairan Kuala Perlis, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata dalam operasi itu, sebuah bot kayu berenjin ditahan pada 3.30 pagi yang merupakan hasil risikan Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis serta rondaan dalam Operasi AMAN sejak beberapa hari lepas.
"Bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot kayu berenjin tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 0.3 batu nautika dari barat Pulau Ketam menggunakan teropong penglihatan malam.
"Pemeriksaan awal bot kayu itu telah menukar haluan ke kawasan paya bakau selepas menyedari kehadiran bot ronda namun berjaya dipintas. Seorang suspek bertindak terjun ke laut dan berenang ke arah paya bakau untuk melarikan diri," katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis dekat sini hari ini.Romli berkata hasil pemeriksaan lanjut menemukan lapan guni pelbagai warna mengandungi 157 ketulan daun kering mampat disyaki ganja yang dibungkus menggunakan plastik lut sinar dan pembalut bertulisan asing yang disembunyikan di bawah pukat bagi mengaburi pihak berkuasa.
Beliau berkata modus operandi sindiket itu dipercayai menyamar sebagai nelayan tempatan dan menyusup ke perairan negara pada waktu malam supaya tidak dikesan pihak berkuasa serta segelintir nelayan tempatan turut dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah tersebut.
Katanya sindiket menggunakan bot dipercayai dari negara jiran tanpa nombor pendaftaran sebelum memindahkan dadah ke bot tempatan untuk dibawa ke daratan.
Menurutnya jumlah ganja itu dipercayai boleh digunakan lebih 30,000 penagih dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami