Pasukan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini mengecilkan kawasan pencarian kes bot pancung terbalik di perairan Pulau Nunuyan.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata SAR yang dimulakan jam 7 pagi hari ini menjalankan pencarian seluas 84 batu nautika persegi.

"Namun, sektor pencarian tetap dibahagikan kepada lapan dan membabitkan lapan bot serta kapal penyelamat.

"Tiga mangsa belum ditemui setakat ini iaitu bayi perempuan, kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki dewasa," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Katanya, SAR hari ini sudah memasuki hari keempat.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot pam dinaiki bersama rakannya dipukul ombak pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mangsa hilang Herman Gasim, 31, bersama rakannya Mazlan Mohamad keluar memancing sebelum bot dinaiki karam, lebih kurang dua batu nautika dari pantai Kampung Bangigod, Tungku dekat sini pada 12.50 tengah hari.

"Namun rakan mangsa, berjaya berenang ke daratan berhampiran dan membuat laporan kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bertindak daripada laporan tersebut, Abdul Muhaimin berkata SAR diaktifkan pada pukul 6 pagi semalam.

"Operasi itu melibatkan empat aset laut daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam," katanya lagi.

Bagaimana pun, menurutnya sehingga 6 petang semalam, mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan hari ini merangkumi kawasan seluas 86 batu nautika persegi.