MALAYSIA
APMM kesan 'kapal hantu' di perairan Terengganu

Kapal itu dikesan kira-kira empat batu nautika timur pelantar berkenaan, hasil laporan diterima Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan daripada MRSC Johor Bahru pada 4.45 petang, 12 Ogos lepas.
KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah 'kapal hantu' yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu, pada Selasa lepas.
Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata kapal tanpa nama seberat 292.9 tan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sebuah kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili pada 7 Ogos lepas.
Beliau berkata kapal itu dikesan kira-kira empat batu nautika timur pelantar berkenaan, hasil laporan diterima Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan daripada MRSC Johor Bahru pada 4.45 petang, 12 Ogos lepas.
"Kapal itu hanyut melepasi kawasan pelantar minyak dan berisiko mengancam keselamatan pelantar lain di sekitarnya. Kapal terbabit kini dalam proses penundaan menuju ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) untuk tujuan penyelamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.Pada 7 Ogos, media melaporkan seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat lagi cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah kapal tangki asing di kedudukan 36 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, dekat perairan Johor Timur, Kota Tinggi, yang berlaku sehari sebelum itu.
Mazlan berkata pihaknya akan melaksanakan pemeriksaan terperinci termasuk siasatan identiti kapal serta aduan berhubung kemungkinan terdapat mangsa di dalamnya sebaik tiba di KSB.
Beliau berkata operasi terbabit turut mendapat bantuan aset udara jenis Dauphin AS 365 N3 yang membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat bersama Jabatan Laut Malaysia, Malaysia Petroleum Management, PETRONAS, PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Vestigo Petroleum Sdn Bhd, Jadestone Energy (Malaysia) dan Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd.
"Maritim Malaysia akan meneruskan operasi ini sehingga kapal itu selamat diserahkan kepada pihak Jabatan Laut Malaysia," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami