Skip to main content

Malaysia

APMM Labuan gagalkan cubaan seludup minuman keras

Izwanhadi berkata jumlah keseluruhan rampasan melibatkan kira-kira 600 karton minuman beralkohol dan semua barangan yang dirampas disita mengikut Akta Kastam 1967. - Gambar APMM Labuan
Izwanhadi berkata jumlah keseluruhan rampasan melibatkan kira-kira 600 karton minuman beralkohol dan semua barangan yang dirampas disita mengikut Akta Kastam 1967. - Gambar APMM Labuan

Advertisement

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras yang dianggarkan bernilai RM270,000 di Sungai Melikai, Menumbok, Sabah, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kepten Izwanhadi Idros berkata operasi itu susulan maklumat risikan mengenai pergerakan barangan yang disyaki tidak mendapat pelepasan kastam dari perairan Labuan ke Sabah.

Beliau berkata pada kira-kira 1.45 pagi, bot peronda APMM Penggalang 24 mengesan dan mengekori sebuah bot kargo yang membawa tiga individu dari perairan Labuan menuju ke Menumbok.

“Bot berkenaan kemudiannya dikesan berlabuh di sebuah lokasi pendaratan haram yang disyaki di jeti Sungai Kampung Melikai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Izwanhadi berkata serbuan kemudian dijalankan di darat dengan bantuan anggota bot peronda.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga individu berkenaan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran, manakala usaha mengesan mereka tidak berjaya berikutan keadaan cuaca dan bentuk muka bumi yang menyukarkan operasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 200 karton minuman beralkohol berada di dalam bot kargo, manakala dua buah lori di lokasi berkenaan membawa kira-kira 400 karton minuman beralkohol pelbagai jenama,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan rampasan melibatkan kira-kira 600 karton minuman beralkohol dan semua barangan yang dirampas disita mengikut Akta Kastam 1967 dan dibawa ke ibu pejabat Zon Maritim Labuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Izwanhadi berkata APMM akan mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan penyeludupan serta melindungi perairan negara daripada jenayah maritim.

Beliau turut menggesa orang ramai dan komuniti maritim untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan bagi membantu penguatkuasaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement