KUALA PERLIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan kelas A di kedudukan 3.24 batu nautika barat Kuala Perlis kerana disyaki menjalankan aktiviti perikanan dengan menggunakan peralatan dilarang.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bot yang berpangkalan di Kuala Kedah itu dikesan menangguk siput jenis retak seribu dalam keadaan gelap di sekitar perairan Perlis kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi.

Beliau berkata, ketika ditahan, kesemua nelayan itu sedang leka melakukan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu. 

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(3)(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan atau membenar dikendalikan, apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan, peranti mengumpul ikan atau sistem kultur laut tanpa suatu lesen berkenaan dengannya.

“Bot tersebut dikendalikan seorang tekong bersama tiga awak-awak dimana kesemuanya warga tempatan berusia 16 hingga 45 tahun,” katanya menerusi kenyataan.



Mohd Shafie menjelaskan, pihaknya turut merampas satu set sangkar besi berupa tangguk siput yang dianggarkan bernilai RM2,000 bersama hasil siput retak seribu seberat 300 kilogram bernilai RM600 dimana nilai keseluruhan rampasan sekitar RM2,600.

Kesemua tangkapan dan bot dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan kerana Jabatan Perikanan Negeri Perlis tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti penangkapan siput.

Lesen atau permit untuk aktiviti penangkapan siput hanya dikeluarkan di negeri Kedah dan hanya dibenarkan menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja.

“Aktiviti ini boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih-benih ikan di dasar laut serta turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai.

“Rententan aktiviti haram ini, nelayan pesisir pantai terpaksa menanggung kerugian apabila pukat mereka rosak dan koyak kerana tersangkut dengan kulit siput yang telah mati serta tahap kesedaran yang rendah sesetengah komuniti nelayan yang ingin mengaut keuntungan segera antara punca aktiviti ini masih berlaku,” ujarnya.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penangkapan hasil laut secara salah dan dilarang ini.

Walaupun telah banyak tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan.