KUALA LUMPUR : Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memuat naik amaran berkaitan dengan aras air sungai susulan hujan lebat pagi tadi sekitar Lembah Klang.

Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Tuan Ibrahim memaklumkan bahawa aras air dalam peringkat bahaya setakat kemaskini jam 6.30 pagi hari ini.

Ia melibatkan Lembangan Sungai Klang, Sub Lembangan Sungai Gombak dan Stesen Sungai Gombak di Jalan Tun Razak dengan aras air di paras 31.21 meter.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati membawa kenderaan ke tempat kerja terutama mereka yang menuju ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor susulan hujan lebat pagi ini.

 

Bagaimanapun, setakat jam 8.15 pagi, berdasarkan laporan arasa air di laman web rasmi Infobanjir, Sungai Gombak masih pada peringkat amaran dengan aras air sungai 31.48m. 

Sementara itu, Sungai Klang di Jambatan Tun Perak, KL berada peringkat amaran dengan aras air 29.21m dan Sungai Klang di Leboh Pasar pada peringkat waspada dengan aras air 28.54m.

Selain di Semenanjung, aras air Sungai Long Teru, Miri melebihi tahap bahaya dengan aras air 8.08m.

Orang ramai boleh rujuk keadaan aras air sungai menerusi portal tersebut. 

[TERKINI] Paras air Sungai Gombak pada peringkat bahaya