MALAYSIA
Artikel nasi kandar: Mahkamah tolak saman ahli perniagaan terhadap The Star, wartawan

Hakim memutuskan bahawa kedua-dua defendan tidak memfitnah plaintif dan mereka tertakluk di bawah perlindungan bersyarat. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah yang difailkan ahli perniagaan Datuk Seri Sabaruddin Ahmad terhadap akhbar harian berbahasa Inggeris The Star Publication dan wartawannya, Imran Hilmy Tawfik Hilmy.
Saman itu berkaitan artikel bertajuk 'Nasi Kandar Shakedown: Penang restaurant claims they are being harassed for protection money' yang diterbitkan pada 16 Okt 2020.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan bahawa kedua-dua defendan tidak memfitnah plaintif dan mereka tertakluk di bawah perlindungan bersyarat.
Dalam penghakimannya, beliau berkata pembelaan defendan yang bergantung kepada perlindungan bersyarat telah berjaya dibuktikan selain isu tersebut melibatkan kepentingan kesihatan dan keselamatan awam.Mahkamah memerintahkan Sabaruddin membayar kos RM30,000 kepada defendan.
Peguam Nicholas Navaron dan Soraya Sulaiman Ong mewakili The Star dan Imran Hilmy manakala Sabaruddin diwakili peguam S. Raveentharan serta R. Asmeeta.
Pada April 2021, Sabaruddin telah memfailkan saman itu terhadap kedua-dua defendan dan menuntut pelbagai ganti rugi termasuk penarikan semula artikel tersebut serta permohonan maaf.
Sebelum ini, akhbar itu melaporkan bahawa pemilik sebuah restoran nasi kandar terkenal di sini telah membuat laporan polis mendakwa beliau dan kakitangannya diganggu bagi mendapatkan wang perlindungan dan wartawan terbabit menemu bual pemilik restoran tersebut serta anaknya.
Pemilik dan anaknya mendakwa mereka telah diugut oleh seorang 'Datuk' yang memberitahu bahawa kakitangan restoran itu berisiko dicederakan dan premis berkenaan akan dirosakkan sekiranya mereka tidak bersetuju membayar wang perlindungan pada hari tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami