Presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy sedia berdebat dengan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Arul Kanda dalam kenyataannya berkata Tony keliru kerana selepas menggesa beliau berundur, kini Tony mencabarnya pula untuk berdebat.

“Tony dalam satu kenyataan berkata yang kononnya saya akan jatuh ‘cinta’ kepadanya. Kemudian dia gelarkan saya pembohong dan menafikan pencapaian saya.

“Pada Khamis pagi, dia kata saya patut letak jawatan dari 1MDB, kemudian malamnya dia nak berdebat pula,” kata Arul Kanda dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Arul bagaimanapun mempersoalkan mengapa Tony masih mahu berdebat jika segala penjelasan beliau selama ini dianggap sebagai satu penipuan.

Lebih ironi, katanya, ini kali pertama Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ingin berdebat dengan pihak pembela selepas prosiding dan laporan sudah dikeluarkan.

“Untuk mengelak malu kali kedua, saya harap Tony telah terlebih dahulu memeriksa dengan speaker Parlimen sebelum mengeluarkan cabaran debat ini.

“Apa yang jelas ialah walaupun dia secara eksklusif menyoal saya selama dua hari penuh dalam PAC, wakil DAP ini masih mahu untuk meluangkan masa dengan saya,” kata Arul.

Justeru, katanya, dia sedia menyahut cabaran Tony untuk tidak menghampakannya.