Ringkasan AI
- Malaysia menegaskan kepentingan penyimpanan stok petroleum secara sukarela dan berasaskan pertimbangan komersial untuk memperkukuh daya tahan tenaga serantau.
- Malaysia komited mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan teknologi CCUS.
- Malaysia menyokong pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN bagi memaksimumkan penggunaan tenaga boleh baharu dan menggalakkan perdagangan tenaga serantau.
MANILA: Sebarang mekanisme simpanan petroleum serantau perlu dilaksanakan secara sukarela dan berasaskan komersial dengan mengambil kira keadaan, keutamaan serta tahap kesiapsiagaan domestik setiap negara anggota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengiktiraf kepentingan penyimpanan petroleum dalam memperkukuh daya tahan tenaga serantau, namun pelaksanaannya perlu menghormati keutamaan nasional negara yang mengambil bahagian.
“Selaras dengan hasil mesyuarat peringkat menteri sebelum ini, Malaysia mengakui nilai penyimpanan petroleum dalam meningkatkan daya tahan serantau.
“Bagaimanapun, sebarang mekanisme sedemikian perlu dilaksanakan secara sukarela dan berasaskan komersial, dengan mengambil kira keadaan nasional, keutamaan serta tahap kesiapsiagaan domestik setiap negara anggota,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan intervensi Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) Keempat, di sini, Selasa.
Anwar berkata, pendekatan itu selaras dengan matlamat Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Keselamatan Petroleum (APSA).
Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip teras AZEC bahawa usaha penyahkarbonan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga.
Katanya, Malaysia kekal komited mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca bersih sifar menjelang 2050 menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyediakan landasan jelas dan pragmatik ke arah peralihan tenaga.
Anwar berkata, teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) kekal sebagai komponen utama strategi penyahkarbonan Malaysia, dengan negara ini mempunyai kedudukan strategik untuk menjadi hab utama teknologi berkenaan di rantau ini.
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk mempercepat pembangunan Grid Kuasa ASEAN, sambil menyifatkan hubungan sambungan elektrik rentas sempadan yang lebih kukuh penting bagi memaksimumkan penggunaan tenaga boleh baharu, meningkatkan kestabilan grid serta memudahkan perdagangan tenaga serantau.
“Bagi merealisasikan aspirasi kita, AZEC perlu terus diperkasa sebagai pemangkin kepada tindakan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia bersedia menyumbang sebagai rakan serantau yang boleh dipercayai, destinasi pelaburan hijau serta peserta aktif dalam penyelesaian perubahan iklim di peringkat serantau.
"Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua negara anggota bagi menterjemahkan visi bersama kepada hasil yang nyata menerusi AZEC," katanya.