KUALA LUMPUR: Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-59 pada Sabtu ketika blok serantau itu berada pada titik penting dalam mendepani realiti geopolitik baharu yang sedang membentuk semula rantau ini.
Selepas hampir enam dekad membuktikan kejayaan dan daya tahan serta mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa, cabaran ASEAN kini bukan lagi sekadar membuktikan kerelevanannya.
Sebaliknya, penganalisis berpendapat bagi persatuan yang dianggotai 11 negara itu, memperkukuh kesatuan dalaman dan integrasi serantau kini lebih penting berbanding sebelum ini kerana kedua-duanya menjadi kunci untuk memelihara kepusatan ASEAN serta daya tahannya dalam menghadapi persaingan geopolitik yang semakin sengit dan cabaran serantau yang kompleks.
Perang Amerika Syarikat (AS)-Iran serta konflik lebih meluas di Asia Barat menambahkan lagi keperluan itu apabila perkembangan berkenaan mendedahkan rantau ini kepada kebimbangan lebih besar terhadap keselamatan tenaga selain risiko gangguan perdagangan global dan rantaian bekalan.
Penganalisis berkata cabaran seterusnya ialah memastikan pengaruh diplomatik ASEAN yang semakin berkembang mampu membawa manfaat nyata kepada rantau ini dan kira-kira 700 juta penduduknya ketika blok itu merangka masa depan menerusi Visi Komuniti ASEAN 2045.
Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Phar Kim Beng berkata masa depan ASEAN tidak hanya bergantung kepada pengiktirafan rakan luar terhadap kepusatan blok berkenaan.
“Komitmen kuasa-kuasa besar terhadap Kepusatan ASEAN memberi keyakinan bahawa mereka menghormati peranan dan kedudukan blok ini di rantau berkenaan,” kata beliau.
Bagaimanapun, masa depan ASEAN pada akhirnya bergantung kepada keupayaannya memperdalam integrasi dan memperkukuh kepusatannya dari dalam.
“Sebaik-baiknya, negara anggota ASEAN sendiri perlu menegaskan perkara itu, bahawa ASEAN sentiasa menjadi aktor utama dan penting sebagai sebuah blok.
“ASEAN juga perlu melakukan banyak usaha bagi memastikan ia benar-benar menjadi seperti yang dihasratkan, iaitu sebuah komuniti ekonomi tunggal yang kukuh dan dinamik,” kata Phar, yang juga bekas pegawai Sekretariat ASEAN kepada Bernama.
Beliau menekankan bahawa usaha itu memerlukan langkah lebih giat untuk meningkatkan mobiliti tenaga kerja, kesalinghubungan digital serta kerjasama antara kerajaan dalam kalangan negara anggota.
Sementara itu, Profesor Madya di Pusat Kajian Indo-Pasifik Universiti Jawaharlal Nehru (JNU) Dr Rahul Mishra berkata walaupun ASEAN menunjukkan daya tahan yang kukuh dalam menangani cabaran dalaman dan luaran, masih banyak yang perlu dilakukan bagi melindungi pemusatan serta kepentingan strategiknya.
“Walaupun ASEAN berjaya mengekalkan daya tarikannya dari segi norma, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan pemusatannya kekal utuh dan kepentingannya terus terpelihara.
“Persaingan yang semakin sengit antara AS dan China serta pertikaian Laut China Selatan yang semakin memuncak memberikan cabaran besar kepada ASEAN,” katanya.
Beliau berkata pengaruh diplomatik ASEAN yang semakin meningkat kini perlu disertai kerjasama praktikal dan fungsional yang lebih kukuh dengan rakan-rakannya.
Kepentingan strategik ASEAN turut terzahir menerusi penglibatan luarnya yang semakin meluas, dengan blok itu kini mempunyai 12 rakan selepas status Türkiye dinaik taraf baru-baru ini.
Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini, turut menyaksikan jumlah Pihak Pejanji Tinggi meningkat kepada 62 berbanding 58 sebelum ini susulan penyertaan Sweden, Poland, Romania dan Lithuania bulan lepas.
“ASEAN perlu melangkaui peringkat dialog dan hasrat untuk bekerjasama dengan rakan-rakannya, sebaliknya memberi tumpuan kepada menterjemahkan komitmen kepada tindakan khususnya dalam bidang keselamatan intrawilayah dan serantau, kesalinghubungan fizikal dan digital yang lancar, integrasi ekonomi serantau, penyelesaian pertikaian serta pengurusan hubungan dengan kuasa-kuasa besar,” katanya.
Rahul berkata beberapa cabaran utama yang dihadapi ASEAN termasuk krisis Myanmar dan ancaman penipuan siber yang semakin meningkat di rantau ini perlu ditangani dengan lebih tegas, terselaras dan berasaskan tempoh masa yang jelas.
“Melainkan ASEAN menangani cabaran serantau mendesak ini secara langsung, sukar bagi organisasi itu untuk terus kekal relevan dalam dinamik keselamatan serantau,” katanya.
ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Blok itu kini berkembang kepada 11 anggota selepas penyertaan Brunei pada 1984, Vietnam (1995), Laos (1997), Myanmar (1997) dan Kemboja (1999), manakala Timor-Leste, anggota terbaharunya diterima masuk semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober tahun lepas.
Sambutan Hari ASEAN tahun ini diadakan dengan tema “Navigating Our Future Together” yang juga merupakan tema ASEAN 2026 di bawah Kepengerusian Filipina.
-- BERNAMA