Skip to main content

Malaysia

ASEAN GeoAI Fusion 2026 pacu bakat AI serantau

Teo Nie Ching (tengah) pada Majlis Penutup ASEAN GeoAI Fusion 2026 baru-baru ini. - Foto MCMC
Teo Nie Ching (tengah) pada Majlis Penutup ASEAN GeoAI Fusion 2026 baru-baru ini. - Foto MCMC
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 1,100 peserta dari 11 negara anggota ASEAN menyertai ASEAN GeoAI Fusion 2026, sebuah platform pembangunan kapasiti dan inovasi yang menghimpunkan bakat, industri, akademia serta pemegang taruh serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi geospatial.

Program yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama ASEAN itu memuncak menerusi Hackathon Fizikal dan Majlis Penutupan di Kuala Lumpur dengan 17 pasukan dari lapan negara anggota ASEAN terpilih untuk menghasilkan penyelesaian berasaskan GeoAI bagi menangani cabaran dunia sebenar.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, program berkenaan membuktikan potensi rantau ASEAN dalam membangunkan keupayaan teknologi sendiri menerusi kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti inovator.

Advertisement

“Program ini telah membuktikan bahawa ASEAN mempunyai bakat, kreativiti dan keupayaan teknologi yang diperlukan untuk membentuk masa depan digitalnya sendiri,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Menurut beliau, penyatuan pelbagai pihak menerusi platform itu bukan sahaja membangunkan teknologi baharu, malah memperkukuh asas kerjasama serantau yang boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital ASEAN pada masa hadapan.

Advertisement

“Apabila kerajaan, industri, akademia dan komuniti inovator disatukan dalam satu platform, kita bukan sahaja membangunkan teknologi baharu, malah memperkukuh asas kerjasama serantau yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital ASEAN pada masa hadapan,” jelasnya.
 

Image
ASEAN GEOAI -- credit: MCMC
Juara pertandingan ASEAN GeoAI Fusion 2026 meraikan kemenangan pada majlis penutup acara berkenaan. - Foto MCMC

Teo turut berkata, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat teknologi strategik, selain memperluas penggunaan AI secara bertanggungjawab dan memperkukuh kerjasama digital di peringkat serantau.

“Aspirasi kita adalah untuk memastikan ASEAN bukan sekadar mengikuti gelombang transformasi digital global, tetapi menjadi rantau yang memimpin inovasi, membangunkan penyelesaian sendiri, dan menghasilkan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat,” ujarnya.

ASEAN GeoAI Fusion 2026 bertemakan “Geospatial Intelligence for a Connected ASEAN” dan dilaksanakan secara hibrid dalam enam fasa bermula Julai 2026.

Program itu merangkumi dua bootcamp maya, satu hackathon maya serta Hackathon Fizikal yang berlangsung di Kuala Lumpur, sebelum diakhiri dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah pada 22 September.

Seramai 1,112 peserta berdaftar menyertai program berkenaan, melebihi tiga kali ganda sasaran asal 300 peserta atau mencapai 370 peratus daripada sasaran.

Daripada jumlah itu, 72 peratus terdiri daripada pelajar, manakala penyertaan turut melibatkan badan pengawal selia, pemain industri, agensi kerajaan dan penyelidik.

Penyertaan tersebut melibatkan peserta dari Malaysia, Myanmar, Vietnam, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei Darussalam, Kemboja, Singapura, Laos dan Timor-Leste.
 

Image
ASEAN GEOAI -- credit: MCMC
Teo (dua, kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan ASEAN GeoAI Fusion 2026. - Foto MCMC


Bagi laluan hackathon, sebanyak 138 pasukan mendaftar sebelum melalui proses penilaian berperingkat. Daripada jumlah itu, 80 pasukan disenarai pendek untuk penilaian awal, 41 pasukan ke sesi pembentangan langsung dan akhirnya 17 pasukan dipilih ke Hackathon Fizikal.

Setiap pasukan finalis membangunkan prototaip GeoAI berdasarkan lima tema utama, iaitu Kecekapan, Inovasi, Ketersambungan, Kelestarian dan Keselamatan.

Antara cabaran yang diterokai termasuk perancangan liputan rangkaian, ketahanan bencana, keselamatan siber serta kelestarian infrastruktur.

Menurut MCMC, teknologi GeoAI berpotensi menyokong agenda transformasi digital negara menerusi analisis data geospatial yang lebih pantas, tepat dan berasaskan bukti.

Teknologi itu juga boleh dimanfaatkan dalam sistem amaran awal bencana, pemantauan risiko iklim, pengurusan pertanian, perancangan bandar mampan serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam.

Selain pertandingan, ASEAN GeoAI Fusion 2026 menyediakan ruang perkongsian pengetahuan dan pembinaan rangkaian antara peserta, pakar industri, akademia dan pembuat dasar, sekali gus membuka peluang untuk memperluas penggunaan GeoAI serta mengembangkan bakat di Malaysia dan rantau ASEAN.

Program itu turut disokong lebih 20 rakan strategik daripada institusi akademik, penyedia perkhidmatan dan teknologi, termasuk Universiti Malaya-Wales, UNITEN, Universiti Kebangsaan Malaysia, UCSI, Google, Telekom Malaysia (TM), EDOTCO, SIG-GIS dan Gamuda.

Dari segi pengiktirafan, Grabber dari Malaysia muncul sebagai Johan, diikuti Starlink dari Malaysia sebagai Naib Johan, manakala tempat ketiga dimenangi Snack Overflow, juga dari Malaysia.
 

Image
ASEAN GEOAI -- credit: MCMC
Teo (tiga, kiri) ketika menyampaikan hadiah saguhati kepada Team Geovisionaries. - Foto MCMC


Dua hadiah saguhati pula diberikan kepada Team Geovisionaries dari Myanmar dan Kandila dari Brunei Darussalam.

Enam Anugerah Khas ASEAN turut diberikan, dengan Grabber menerima ASEAN Best GeoAI Innovation, AI Slop Final Boss dari Malaysia bagi ASEAN Best Sustainable Development Impact, AGOS dari Filipina bagi ASEAN Best Digital Inclusion, Laopadit dari Laos bagi ASEAN Most Promising Solution, Starlink bagi ASEAN Best Spatial Intelligence, manakala Lorem Ipsum dari Thailand menerima Judge’s Special Recognition.

Keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah 15,000 dolar Amerika Syarikat, merangkumi sembilan kategori hadiah utama serta enam Anugerah Khas ASEAN.

Peserta yang melengkapkan program dan penilaian turut menerima pensijilan profesional yang dikeluarkan Universiti Malaya-Wales, termasuk Certified GeoAI Innovator (CGAI) untuk pemenang tempat pertama hingga ketiga, Associate GeoAI Innovator (AGAI) bagi semua finalis Hackathon Fizikal serta Certified GeoAI Explorer (GAIex) untuk peserta yang melengkapkan program dan penilaian sehingga sesi Hackathon Maya.

Dalam pada itu, Teo berkata, pencapaian program itu tidak seharusnya terhenti pada pertandingan, sebaliknya perlu diteruskan menerusi perkongsian ilmu dan penyelesaian yang dibangunkan.

Sehubungan itu, kesemua hasil program akan didokumentasikan menerusi ASEAN GeoAI Knowledge Hub untuk tempoh setahun selepas program, bagi memastikan ilmu dan penyelesaian yang dihasilkan terus memberi manfaat kepada seluruh rantau.

Teo turut menegaskan komitmen berterusan Kementerian Komunikasi dan MCMC dalam memperluas kerjasama digital ASEAN di bawah kerangka ASEAN Digital Senior Officials’ Meeting - ASEAN Telecommunications Regulators’ Council (ADGSOM-ATRC).

“Ke hadapan, kejayaan program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi antara industri, akademia dan kerajaan di seluruh ASEAN bagi mempercepat pembangunan penyelesaian digital yang berimpak tinggi, sekaligus memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai rantau yang inovatif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement