KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa mengeluarkan perintah menghalang Datuk Seri Najib Razak daripada mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga AS$681 juta.

Berdasarkan dokumen perintah yang diperoleh media hari ini, bekas Perdana Menteri itu turut tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaun bank untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Dokumen itu turut menyatakan, jika defendan pertama (Najib) memerlukan lebih RM100,000 sebulan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Global Diversified Investment Company Limited yang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima.

Global Diversified Investment Company Limited sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.

"Sekiranya tiada kebenaran bertulis diberikan, defendan pertama boleh memohon dan mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah untuk sejumlah wang melebihi RM100,000 sebulan dibenarkan untuk digunakan bagi perbelanjaannya," demikian menurut dokumen tersebut.

Perintah itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom selepas membenarkan permohonan injunksi mareva sebelah pihak yang dipohon 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified.

Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan. 

Perintah itu juga antara lain menyebut, Ahli Parlimen Pekan itu mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Najib, 69 tahun, hendaklah memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat aset dan maklumat itu hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama (1MDB) dan kelima (Global Diversified) dalam masa 14 hari selepas perintah mahkamah sampai kepadanya.

"Sekiranya keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi jumlah AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

"Sekiranya keseluruhan nilai tanpa beban aset-aset defendan pertama di Malaysia tidak melebihi AS$681 juta, defendan pertama tidak boleh mengalihkan asetaset tersebut dari Malaysia dan tidak melupuskan atau mengendalikan aset-aset tersebut.

"Namun jika defendan pertama mempunyai aset-aset lain di luar Malaysia, defendan pertama boleh melupuskan atau mengendalikan aset-aset tersebut asalkan jumlah nilai tanpa beban aset-aset defendan pertama, sama ada di dalam atau luar Malaysia kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta," menurut dokumen itu lagi.

Perintah terbabit juga menyatakan mana-mana individu dalam prosiding tersebut atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah atau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

Perintah itu berkuat kuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil AS$8 bilion difailkan 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib dan bekas pengurusan kanan 1MDB.

Mahkamah turut memerintah perbicaraan inter-parte (antara pihak) ditetapkan pada 21 Februari ini.