KERJA keras selama dua tahun dua pelajar Malaysia Melwin Cheng Choon Lei dan Tham Yong Shiang menjalankan kajian mencari penawar membanteras pembiakan nyamuk Aedes ternyata tidak sia-sia.

Kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Pulau Pinang itu membanggakan Malaysia apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Intel (Intel ISEF) 2019 yang berlangsung di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Kebanggaan itu tambah berganda apabila nama Choon Lei dan Yong Shiang juga akan dinamakan pada sebuah asteroid.

Kejayaan kedua-dua remaja itu sekali gus melakar sejarah baharu negara dalam dunia astronomi.

Dalam kerja penyelidikan yang dilakukan, Choon Lei dan Yong Shiang yang juga pelajar tingkatan 5 berjaya menjadikan ekstrak mentah kayu manis sebagai larvisid (agen yang memusnahkan larva serangga).

Portal berita The Star melaporkan, penemuan dua sahabat itu boleh digunakan untuk membanteras pembiakan nyamuk Aedes sekali gus boleh mengurangkan risiko jangkitan denggi di Malaysia kerana penyakit tersebut merupakan antara kebimbangan di dalam negara.

Pencapaian Choon Lei dan Yong Shiang itu sekali gus meneruskan legasi Faye Jong-Sow Fei dari Sarawak yang pernah memenangi kategori Pengurusan Alam Sekitar Intel ISEF pada tahun 2015.

Choon Lei dan Yong Shiang turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$3,000 (RM12,520) sebagai ganjaran di atas kemenangan mereka di Intel ISEF .


BACA: Bagaimana jika New York dihentam asteroid? Simulasi NASA dedah fakta mengerikan

BACA: Peningkatan kes demam denggi mendadak di Kuching

BACA: Vaksin denggi pertama dapat kelulusan di sebalik kontroversi lampau

Bagi Pengetua SMJK Chung Ling, Soo Seng Poh, pihaknya sangat berbangga dan berbesar hati kerana berupaya memupuk bakat dalam bidang Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan.

"Kami telah mengasaskan Kelab I-Pencipta di sekolah yang mana Choon Lei dan Yong Shiang merupakan ahlinya.

"Pelajar-pelajar berkeupayaan membangunkan minat dan berkongsi kreativiti semasa kegiatan ko-kurikulum.

"Ini merupakan kaedah paling berkesan untuk mencipta asas perkongsian pengetahuan dan sekali gus menanam keyakinan pelajar," kata Seng Poh.

Choon Lei dan Yong Shiang berjaya menempa nama ke gelanggang ISEF 2019 selepas meraih anugerah emas di Pertandingan Inovasi Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Kebangsaan (Pistek) di Kuala Lumpur pada November lalu.

Sementara Intel ISEF pula merupakan pertandingan sains terbesar di dunia di peringkat pra-universiti yang berlangsung pada 11 hingga 18 Mei lalu di Arizona, AS.

Pertandingan berkenaan menghimpunkan 1,800 finalis mewakili 80 buah negara dari seluruh dunia.