KUALA LUMPUR: Seramai 328 graduan pelbagai program pertanian akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 Sidang 2 2023 pada 25 hingga 30 November ini, yang diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Serdang. 

Menurut Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, bilangan itu termasuk dalam jumlah 6,051 graduan pelbagai program pengajian yang akan menerima ijazah dan diploma.

Ia masing-masing terdiri daripada penerima ijazah doktor falsafah (Ph.D) seramai 520; ijazah sarjana seramai 1,532; ijazah (3,988) dan diploma (11).

Jelas beliau, pada 4 November lalu, Majlis Konvokesyen Ke-47 Sidang 1 UPM Kampus Bintulu telah diadakan melibatkan seramai 487 graduan pelbagai program pengajian.

"Tuanku Canselor UPM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah memberi perkenan untuk mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kewangan kepada Tan Sri Azman Hashim serta Gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin, Datuk Dr. Abu Bakar Salleh serta Profesor Emeritus (secara Anumerta) kepada Allahyarham Datuk Dr. Yaakob Che Man pada sesi pertama (25 November).

"Tuanku Canselor turut mengurniakan Ph.D, sarjana, ijazah dan diploma kepada graduan pada hari sesi pertama tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Majlis pengurniaan ijazah sebanyak enam sesi selama enam hari itu akan turut disempurnakan oleh tiga Pro Canselor UPM iaitu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada sesi ketiga (27 November); Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim pada sesi kedua (26 November); manakala Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie pada sesi keempat (28 November), kelima (29
November) dan keenam (30 November).

Ahmad Farhan berkata, Sultan Sharafuddin juga berkenan mengurniakan hadiah kepada semua pemenang hadiah peringkat universiti antaranya Pingat Emas Canselor; dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputra).

Selain itu, Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputra); Pingat Emas Alumni; Pingat Emas Yayasan Pak Rashid; Pingat Putra Agribio; serta Pingat Razlan Putra.

"Sementara itu, antara atlet negara yang akan bergraduasi ialah Jonathan Nyepa (Olahraga), Zaidatul Husniah Zulkifli (Olahraga), Zaidatul Husna Zulkifli (Olahraga), Eng May Xin Winnie (Olahraga), Muhammad Ameer Nasrun Zulkeffli (Ragbi), Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi (Ragbi) serta Karishma S.Loganathan (Bola Jaring)," katanya.