PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kini mengetuai delegasi Malaysia ke Ottawa, Kanada untuk menjalankan kajian terperinci mengenai konsep pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Azalina berkata kajian mengenai konsep yang diamalkan di negara berkenaan bertujuan mendapatkan keterangan secara terus dan sebagai rujukan amalan terbaik dalam usaha mengenal pasti model sesuai bagi Malaysia.

Beliau berkata Sekretariat Jawatankuasa Kajian Empirikal Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bertanggungjawab menyediakan sebuah laporan selepas kajian empirikal dilaksanakan di sesebuah negara.

"Ini penting kerana laporan tersebut akan membentuk komponen utama dalam laporan interim dan laporan akhir kajian ini yang akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kajian empirikal itu merupakan bukti jelas komitmen Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda reformasi institusi bagi memastikan tadbir urus negara terus dipertingkatkan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Azalina berkata kajian empirikal di Kanada dimulakan dengan sesi rundingan meja bulat pakar anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, University of Ottawa dan Universiti Malaya bertujuan memudah cara dialog tentang struktur dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diamalkan di kedua-dua negara.

Beliau berkata sesi perbincangan tersebut yang disertai lebih 30 ahli panel dan penceramah khas daripada Malaysia dan Kanada memfokuskan beberapa perkara utama termasuk aspek budi bicara pendakwaan, kebebasan dan Doktrin Shawcross.

Selain itu katanya diskusi turut tertumpu kepada sistem yang sedang diamalkan di Kanada dan penerangan tentang keperluan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia.

Azalina berkata usai sesi meja bulat itu, beliau dan delegasi mengadakan pertemuan dengan Menteri Kehakiman dan Peguam Negara Kanada Arif Virani di pejabatnya di Justice Canada.

"Delegasi Malaysia menggunakan peluang pertemuan itu untuk memahami proses pemisahan kuasa yang dilalui Kanada misalnya tahap pengasingan kuasa, peranan dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta isu-isu berbangkit pasca pemisahan dan persoalan utama iaitu faktor yang mendorong kerajaan Kanada melaksanakan pengasingan kuasa pada 2006.

"Arif turut berkongsi pengalaman Kanada pada masa itu termasuk kejayaan, cabaran, implikasi perundangan dan kewangan serta penerimaan daripada sektor perundangan dan rakyat secara umumnya," katanya.

Azalina berkata delegasi Malaysia juga dijadualkan menghadiri beberapa siri pertemuan dan mesyuarat penting dengan pegawai-pegawai tinggi kerajaan Kanada bagi bertukar-tukar pandangan serta perkongsian maklumat dan pengetahuan.

Pada 2 April lepas, Azalina dilaporkan berkata inisiatif pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksana secara berfasa selama dua tahun melalui kajian empirikal di tiga negara iaitu Kanada, Australia serta United Kingdom.

-- BERNAMA