PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki memberi jaminan badan tersebut akan terus bersikap profesional.

Tegasnya lagi, SPRM tidak boleh bertindak melebihi batasan kerana ia dipantau oleh lima panel bebas, dan perlu bertindak mengikut bidang kuasa yang diberikan.

Azam berkata, jaminan yang sama turut diberikan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

“Dalam pertemuan tersebut, saya telah mendengar beberapa isu semasa berbangkit dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar yang menjadi keprihatinan beliau.

“Sehubungan itu, saya memberi jaminan bahawa SPRM sebagai sebuah agensi yang dipantau oleh lima panel bebas akan bertindak secara profesional mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa yang telah diberikan kepada Suruhanjaya ini,” katanya lagi.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira kira sejam itu, Anwar memohon SPRM untuk lebih tegas dalam melaksanakan agenda membanteras rasuah, terutamanya yang melibatkan pemimpin-pemimpin kanan politik.

BACA: Anwar minta SPRM telus siasat dakwaan sogokan, ugutan libatkan 'Menteri Kanan'

Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut meminta SPRM agar lebih telus dalam menyiasat dakwaan terdapat sogokan dan ugutan yang melibatkan seorang ‘Menteri Kanan’.

Beliau berkata, ia merupakan kes spesifik berkaitan dakwaan seorang bekas menteri, yang mengatakan perlu lompat parti, atau berhadapan dengan tekanan siasatan berhubung rasuah.