MALAYSIA
Azlan Man tidak boleh ambil wang ganti jika penerbangan dibatalkan - Saksi

Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man hadir pada perbicaraan kesnya berhubung 10 pertuduhan berkaitan tuntutan palsu dan penerimaan wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Azlan Man tidak boleh mengambil wang ganti jika beliau membatalkan penerbangan meskipun kelayakan cuti seberang laut bagi tahun semasa telah diluluskan dan pembayaran dibuat kepada ejen pelancongan.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Azlan Man tidak boleh mengambil wang ganti jika membatalkan penerbangan cuti seberang laut, walaupun kelulusan dan pembayaran telah dibuat wang tersebut perlu dipulangkan kepada Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis.
- Saksi pendakwaan menjelaskan bahawa pembayaran hanya sah jika perjalanan benar-benar berlaku, dan berdasarkan dokumen yang disahkan oleh Pusat Tanggungjawab.
- Azlan berdepan 10 pertuduhan berkaitan tuntutan palsu dan penerimaan wang haram berjumlah lebih RM2.2 juta, dengan perbicaraan bersambung pada 26 September.
Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Menteri Besar Perlis itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Tirawud yang kini Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat di Jabatan Pengangkutan Jalan berkata berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia dan peraturan lain yang sedang berkuat kuasa, pembayaran bagi perkhidmatan perjalanan ke luar negara oleh Menteri Besar tidak boleh dibuat sekiranya perjalanan sebenar tidak berlaku.
Beliau berkata pembayaran bagi perkhidmatan perjalanan ke luar negara sekiranya dibuat adalah dibayar kepada syarikat yang membekalkan perkhidmatan.
"Dalam pengetahuan saya, pembayaran dibuat setelah perkhidmatan yang diterima disempurnakan dan disahkan oleh Pusat Tanggungjawab berdasarkan dokumen-dokumen yang dikemukakan," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi.
Beliau yang mengenali bekas Menteri Besar Perlis itu semasa berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 2014 berkata pembayaran tidak boleh dibuat kepada pembekalan atau perkhidmatan oleh Pusat Tanggungjawab sekiranya ia tidak dilakukan.
"Ini kerana pembayaran dibuat berdasarkan Pesanan Tempatan kepada pembekal atau syarikat oleh Pusat Tanggungjawab berserta dokumen-dokumen yang disahkan oleh Pusat Tanggungjawab," katanya.
"Saya sahkan bahawa dokumen-dokumen ini adalah berkaitan sebut harga yang dikemukakan oleh pihak ejen pelancongan bagi tiket penerbangan dan penginapan pergi dan balik ke London," katanya.
Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Azlan juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 26 Sept ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami