Penyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Azmin Ali selesa mendahului persaingan merebut jawatan nombor dua dalam parti itu selepas enam negeri selesai membuat pemilihan minggu ini.

Enam negeri yang telah selesai membuat pemilihan ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Melaka dan Johor.

Azmin kini mendapat 5,111 undi mengatasi pencabarnya Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang meraih 2,322 undi dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan 2,228 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan pada Khamis melalui laman web parti itu.

Bagi persaingan tiga jawatan Naib Presiden pula, penyandang Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua duduk di kelompok tiga teratas bersama Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mengatasi 11 calon yang lain.

Penyandang Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin kini meraih 1,789 undi mengatasi pencabarnya Rodziah Ismail yang mendapat 1,106 undi dalam persaingan ketua sayap itu.

Kerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyaksikan persaingan rapat apabila tiga calon yang bertanding dipisahkan dengan undi yang agak kecil. Amirudin Shari yang mengetuai pasukan 'AMK Baru' mendapat 777 undi diekori oleh Nik Nazmi Nik Ahmad dengan 739 dan Mohd Nazree Mohd Yunus dengan 720 undi.

Dalam pada itu, Astro AWANI difahamkan pemilihan yang berlangsung di beberapa cabang antaranya Kemaman, Dungun, Batang Sadong dan Paya Besar tidak dikira ekoran masalah yang berlaku semasa pemilihan sehingga memaksa sesetengah proses itu perlu diadakan semula.

Sementara itu, lima negeri lagi akan memilih pada hujung minggu ini iaitu Perlis, Kedah, Sabah, Pulau Pinang dan Perak sebelum giliran Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Selangor pada hujung minggu depan.