BAGAIKAN bersolat Hari Raya di Bangladesh.

Itu perkara pertama, terlintas di fikiran sebaik menjejak masuk ke Masjid Jamek Kuala Lumpur di Jalan Tun Perak, pada 1 Syawal untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Manakan tidak, di depan dan belakang, di kiri dan kiri hanya kelibat warga Bangladesh yang kelihatan hampir memenuhi setiap saf di masjid berkenaan.

Terfikir, ke mana perginya warga kota?

“Mungkin ramai yang sudah balik ke kampung berhari raya bersama keluarga dan sanak saudara, kecuali penulis yang perlu bertugas di Aidilfitri ini.

Ini menjadikan, yang tinggal di ibu negara, majoritinya warga asing, termasuk Bangladesh.

Bilangan mereka yang terlalu ramai menjadikan diri ini kekok dan rasa terasing, seolah-olah ketika itu, berada di Bangladesh.

Sedangkan, warga Bangladesh itu, kelihatan terlalu selesa seperti di negara sendiri.

Ahmad Shuhaimi Mohd Zabri
Warga asing membanjiri Masjid Jamek Kuala Lumpur pada Hari Raya pertama bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri setelah pihak berkuasa tidak membenarkan mereka menunaikan solat sunat Aidilfitri di Jalan Silang untuk mengelakkan berlakunya kesesakan jalan raya. - Foto Bernama

Ia mengimbas kembali pengalaman mengunjungi Masjid Nasional Bangladesh, Baitul Mokkarram beberapa tahun lalu.

Namun, sebaik khatib memulakan khutbah Aidilfitri di dalam Bahasa Malaysia, menyedarkan penulis, bahawa diri ini masih berada di bumi Malaysia yang bertuah.

Selepas solat, apa yang menarik disaksikan, komuniti warga Bangladesh yang besar, sambil memparagakan kepelbagaian pakaian tradisional negara itu yang berwarna warni.

Bukan sahaja mereka menyapa, bersalaman dan saling berpelukan seolah-olah mengenali antara satu sama lain, sambil mengucapkan selamat menyambut hari raya.

Agaknya mungkin sudah menjadi tradisi, mereka bergambar sama ada secara berkumpul atau selfie tanpa menghiraukan keadaan yang sesak ketika jemaah berpusu-pusu keluar meninggalkan masjid.

Selain menggunakan telefon pintar untuk merakamkan detik-detik menarik, ada yang membawa kamera DSLR untuk bergambar.

Ramai abang-abang Bangladesh ini juga dilihat begitu pemurah apabila mengeluarkan sejumlah wang seringgit daripada kocek masing-masing untuk disedekahkan kepada fakir miskin yang menunggu di luar pagar masjid.

Tanpa ragu-ragu mereka turut mengagihkan wang itu kepada yang bukan Islam.

Penulis kemudian menjengah sebentar di sebuah restoran mamak berhampiran untuk sarapan pagi.

Melangkah masuk ke restoran berkenaan, mata tertumpu kepada wajah-wajah Bangladesh yang sudah memenuhi setiap kerusi di restoran berkenaan dan sekali lagi dirasakan, penulis bagaikan tersesat ke negara lain.

Namun, dirasakan diri ini kembali berada di Malaysia, apabila di satu sudut, seorang warga Bangladesh memanggil pelayan restoran dengan panggilan “boss (panggilan mesra warga tempatan bagi pelayan restoran mamak), teh tarik satu, milo kosong satu, roti canai banjir dua”.

Di meja lain, terdengar suara meminta “boss, kopi kaw satu, teh o nipis satu dan nasi goreng kampung pedas dua”

Nampaknya, mereka bagaikan sudah menyesuaikan diri dan mengikuti apa yang warga tempatan lakukan.

Berikutan ketiadaan meja yang kosong, penulis berkongsi dengan dua abang Bangladesh dikenali hanya sebagai Rahim dan Mohd.

Bagi Rahim yang sudah lebih sembilan tahun berada di Malaysia, manakala Mohd hampir genap 10 tahun, mereka sedih untuk meninggalkan negara ini kerana tempoh permit yang akan tamat.

Ini kerana, Malaysia bagaikan rumah kedua buat mereka.

Selesai bersarapan, penulis berjalan semula ke pejabat di Bukit Kewangan dan di perjalanan itu teringatkan seorang seorang wartawan di Astro Awani yang saling tidak tumpah mempunyai wajah Bangladesh.

Jika dikenakan pakaian tradisi Bangladesh dan bergaul bersama dengan warga negara itu, rasanya tidak terkejut jika mungkin ramai yang menganggapnya berasal dari negara itu.

Mahu tidak mahu, wajah-wajah warga Bangladesh itu akan terus kekal menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat antarabangsa di negara ini.

Lebih-lebih lagi Malaysia bercadang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

Tidak mustahil kehadiran mereka bakal membentuk satu komuniti baru Malaysia-Bangladesh menerusi perkahwinan campur dan menjadi sebahagian daripada rakyat “Malaysia Tanahair Ku”.


*Ahmad Shuhaimi Mohd Zabri adalah Editor Astro AWANI
**Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan Astro AWANI